Khamis, 4 Januari 2024 | 6:58pm

Bursa Malaysia meneruskan kenaikan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkatnya untuk ditutup tinggi hari ini berikutan peningkatan minat daripada pelabur runcit dan penstrukturan semula portfolio oleh pelabur institusi dan asing, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.01 peratus atau 14.89 mata kepada 1,477.26 daripada paras penutup 1,462.37 pada Rabu.

Jumlah dagangan hari ini melonjak kepada 6.37 bilion unit bernilai RM3.82 bilion daripada 5.63 bilion unit bernilai RM3.12 bilion yang mana merupakan yang tertinggi dalam tempoh setahun sejak 24 Nov, 2022 apabila pasaran merekodkan jumlah dagangan sebanyak 6.86 bilion unit.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.48 mata kepada 1,462.85 dan bergerak antara paras 1,461.03 dan 1,477.56 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 630 berbanding 424, manakala 444 kaunter tidak berubah, 722 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Di peringkat serantau, Jakarta Stock Exchange juga meningkat 1.11 peratus, manakala Philippine Stock Exchange naik 1.59 peratus, apabila dana asing melimpah masuk ke Asia Tenggara.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata saham YTL Power International dan YTL Corporation mendapat perhatian utama didorong oleh pendapatan kukuh daripada perniagaan kuasanya di Singapura dan prospek cerah dalam sektor pusat data, manakala minat terhadap saham mewah seperti Tenaga Nasional dan Maybank terus kekal kukuh.

Sementara itu, pasaran utama serantau lain ditutup kebanyakannya rendah berikutan petunjuk negatif daripada Wall Street semalaman.

Tumpuan kini, kata Thong, akan terarah kepada pengumuman data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, terutamanya selepas minit mesyuarat Disember Rizab Persekutuan AS (Fed) membayangkan bahawa kadar mungkin diikekalkan bagi satu tempoh yang agak lama.

Di Bursa Malaysia, indeks petunjuk pasaran berjaya melepasi paras rintangan 1,465.

"Jika ia kekal berada pada paras sekarang bagi satu tempoh yang agak lama, kami yakin FBM KLCI akan terus meningkat lagi.

"Buat masa ini, kami menjangkakan indeks itu berada dalam jajaran 1,465-1,480 menuju ke hujung minggu. Dari segi teknikal, kami melihat paras rintangan pada 1,500 dengan paras sokongan pada 1,450," kata Thong kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Power International meningkat 20 sen kepada RM3.00 dan YTL Corporation naik 4.0 sen kepada RM2.05, Tenaga Nasional menambah 36 sen kepada RM10.42, Maybank melonjak 14 sen kepada RM9.03, Axiata naik 11 sen kepada RM2.49 dan Hong Leong Bank menokok 38 sen kepada RM18.88.

Dalam kalangan kaunter cergas, Minetech naik 3.5 sen kepada 21 sen, Hong Seng Consolidated susut setengah sen kepada 2.5 sen, manakala Ekovest meningkat 1.0 sen kepada 55 sen, Asdion menambah 3.5 sen kepada 14 sen dan BSL Corp menokok setengah sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 20.39 mata kepada 5,387.89, Indeks FBM Emas menambah 101.21 mata kepada 11,004.14 dan Indeks FBMT 100 naik 99.16 mata kepada 10,655.17.

Indeks FBM 70 meningkat 104.73 mata kepada 14,875.91 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 85.79 mata kepada 11,1167.69.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah menokok 17.46 mata kepada 915.37, Indeks Tenaga naik 13.65 mata kepada 834.49 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak 0.66 mata kepada 177.10.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 154.65 mata kepada 16,465.20 dan Indeks Perladangan naik sebanyak 24.93 mata kepada 7,037.57.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 4.44 bilion unit bernilai RM3.43 bilion daripada 3.79 bilion unit bernilai RM1.63 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 770.91 juta unit bernilai RM92.22 juta daripada 637.23 juta unit bernilai RM74.37 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.12 bilion saham bernilai RM297.69 juta daripada 1.18 bilion saham bernilai RM299.76 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 569.47 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.21 bilion); pembinaan (373.14 juta); teknologi (653.73 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (76.56 juta); hartanah (618.03 juta); perladangan (54.59 juta); REITs (13.78 juta), dana tertutup (30,000); tenaga (166.57 juta); penjagaan kesihatan (204.17 juta); telekomunikasi dan media (47.97 juta); pengangkutan dan logistik (202.31 juta); dan utiliti (247.81 juta).

– Bernama

Berita Harian X