Khamis, 4 Januari 2024 | 3:29pm
Gambar fail. - NSTP / AHMAD UKASYAH
Gambar fail. - NSTP / AHMAD UKASYAH

Ringgit dijangka pulih didorong harga komoditi, pelancongan — StanChart

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka akan pulih pada 2024 daripada prestasi yang agak lemah pada tahun lalu disokong peralihan luaran yang dijangka lebih baik, kata Standard Chartered (StanChart).

Ia berkata, harga komoditi yang dijangka lebih tinggi dan pemulihan berterusan dalam pelancongan negara sepatutnya menyokong ringgit berbanding dolar AS.

"Kami melihat ruang baki perjalanan bersih meningkat sebanyak satu peratus lagi daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setahun," katanya dalam nota penyelidikannya.

StanChart berkata, pihaknya pihaknya mengenal pasti lima jangkaan perubahan yang sebahagian besarnya memihak kepada tukaran asing ASEAN, termasuk ringgit meskipun kadar faedah AS yang masih tinggi kekal.

Katanya, lima jangkaan perubahan itu ialah perbezaan dasar monetari, kedudukan asing, ekonomi China, pemulihan elektronik dan harga komoditi yang dijangka tinggi.

"Dengan kemungkinan peralihan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), kami mengenal pasti lima peralihan untuk tukaran asing ASEAN pada 2024.

"Dari segi relatif, kami menjangkakan rupiah Indonesia dan ringgit mencatatkan prestasi yang lebih baik, diikuti oleh dolar Singapura, baht dan dong," katanya.

StanChart berkata, dengan ekonomi China yang lebih stabil dan pemulihan yuan dijangka memberi manfaat kepada tukaran asing ASEAN pada 2024.

Ia berkata, ekonomi Singapura, Vietnam, Malaysia dan Thailand mempunyai kaitan rapat dengan China dengan pergantungan lebih tinggi terhadap permintaan dari China berbanding AS.

"Ringgit, baht dan dolar Singapura mempamerkan pergerakan beta berbanding yuan yang tinggi. Dengan ini, ekonomi China yang lebih stabil dan dolar AS berbanding yuan yang lebih rendah sepatutnya memanfaatkan tukaran asing ASEAN pada 2024," katanya.

Berita Harian X