Khamis, 4 Januari 2024 | 11:25am
Gambar fail. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Gambar fail. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Ringgit meneruskan penurunan berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Khamis selepas harapan melihat pengurangan kadar faedah di negara maju itu pada Mac suram apabila minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) tidak memberi isyarat jelas berkaitan langkah itu.

Pada 9.01 pagi ini, ringgit susut ke paras 4.6400/6445 berbanding dolar AS daripada 4.6300/6355, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat FOMC menunjukkan bahawa tempoh terbaik bagi menurunkan kadar faedah AS adalah pada akhir 2024 berdasarkan unjuran terkini inflasi.

"Ini hanya memberi sokongan kepada naratif kadar faedah yang lebih lama," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata ringgit berbanding dolar AS berkemungkinan kekal suram dalam tempoh terdekat dan bergerak dalam julat 4.63 hingga 4.65.

"Malam ini, laporan penggajian oleh firma ADP akan menjadi tumpuan ketika pasaran mencari petunjuk bagi pengukuhan pasaran tenaga kerja AS.

"Ramai pihak mengunjurkan sebanyak 125,000 pekerjaan diwujudkan dalam sektor swasta pada Disember berbanding 103,000 dalam bulan sebelumnya," katanya.

Mohd Afzanizam berkata berkata data-data baharu ini akan menentukan sentimen pasaran dalam persekitaran berkaitan Kadar Faedah Persekutuan di negara maju berkenaan.

Malah, katanya, sebarang pengukuhan itu akan hanya cenderung untuk melonjakkan lagi nilai dolar AS.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.8780/8837 daripada 5.8463/8532 pada Rabu, turun berbanding euro kepada 5.0678/0727 daripada 5.0634/0694 namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2389/2422 daripada 3.2462/2502 semalam.

Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.4919/4955 daripada 3.4885/4932 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 299.6/300.1 daripada 299.0/299.5.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding peso Filipina pada 8.32/8.34 daripada 8.33/8.34 semalam dan meningkat berbanding baht Thailand pada 13.4559/4772 daripada 13.4824/5063. – Bernama

Berita Harian X