Rabu, 3 Januari 2024 | 6:56pm
Bursa Malaysia - Gambar hiasan
Bursa Malaysia - Gambar hiasan

Bursa Malaysia kembali melonjak dagangan kedua 2024

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini apabila aktiviti membeli saham berharga rendah muncul susulan penjualan semalam di tengah-tengah prestasi lemah pasaran serantau, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.63 peratus atau 9.27 mata kepada 1,462.37 daripada paras penutup 1,453.10.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 0.56 mata kepada 1,452.54, bergerak antara paras 1,450.17 dan 1,465.69 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 715 berbanding 352, manakala 382 kaunter tidak berubah, 779 tidak diniagakan dan 22 digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 5.63 bilion unit bernilai RM3.12 bilion daripada 4.91 bilion unit bernilai RM2.00 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata minat belian juga dilihat dalam saham permodalan kecil terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan, hartanah dan utiliti.

Beliau berkata, prestasi lemah pasaran serantau itu adalah susulan daripada penurunan diterajui saham teknologi di Wall Street apabila firma teknologi utama termasuk pengeluar cip berada di bawah tekanan ekoran penurunan penilaian saham Apple oleh Barclays.

Selain itu, pelabur juga ketika ini sedang menunggu pengumuman minit mesyuarat daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini.

"Kami optimis dalam berhati-hati terhadap pasaran saham tempatan, disokong oleh penilaian menarik dan peningkatan jumlah dagangan.

"Oleh itu, kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI kami antara paras 1,450 dan 1,470 dengan paras rintangan pada 1,465 diikuti 1,500 dan paras sokongan pada 1,450," kata Pak Leng kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Power International melonjak 23 sen kepada RM2.80, Petronas Chemicals naik 1.5 sen kepada RM7.30, YTL Corporation meningkat 9.0 sen kepada RM2.01, Press Metal Aluminium menambah 8.0 sen kepada RM4.94, CIMB menokok 6.0 sen kepada RM5.90 dan MISC menambah 11 sen kepada RM7.40.

Dalam kalangan kaunter cergas, MMAG meningkat 2.5 sen kepada 15 sen, Minetech naik 3.0 sen kepada 17.5 sen, Fitters Diversified turun setengah sen kepada 5.0 sen, UEM Sunrise melonjak 15.5 sen kepada 99 sen dan Top Glove menambah 6.5 sen kepada 97.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 12.95 mata kepada 5,367.50, Indeks FBM Emas menokok 81.94 mata kepada 10,902.93 dan Indeks FBMT 100 naik 74.91 mata kepada 10,556.01.

Indeks FBM 70 meningkat 137.52 mata kepada 14,771.18 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 103.63 mata kepada 11,081.90.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah menambah 33.57 mata kepada 897.91, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.08 mata kepada 176.44, Indeks Tenaga meningkat 1.47 mata kepada 820.84, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 23.81 mata kepada 16,310.54 dan Indeks Perladangan menokok 44.51 mata kepada 7,012.64.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.79 bilion unit bernilai RM1.63 bilion daripada 2.74 bilion unit bernilai RM1.63 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 637.23 juta unit bernilai RM74.37 juta daripada 809.30 juta unit bernilai RM82.75 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.18 bilion saham bernilai RM299.76 juta berbanding 1.42 bilion saham bernilai RM289.98 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 354.78 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (945.33 juta); pembinaan (325.70 juta); teknologi (468.08 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (87.54 juta); hartanah (659.68 juta); perladangan (25.45 juta); REITs (10.48 juta), dana tertutup (5,500); tenaga (235.23 juta); penjagaan kesihatan (322.64 juta); telekomunikasi dan media (42.02 juta); pengangkutan dan logistik (110.00 juta); dana utiliti (204.05 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X