Selasa, 2 Januari 2024 | 10:52am
Indeks dijangka berlegar dalam julat 1,455 hingga 1,465 hari ini - Gambar hiasan
Indeks dijangka berlegar dalam julat 1,455 hingga 1,465 hari ini - Gambar hiasan

Bursa Malaysia bermula perlahan dagangan pertama 2024

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur bagi hari pertama dagangan 2024 pada Selasa walaupun prestasi semalaman Wall Street lebih rendah susulan sambutan perayaan baru-baru ini, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.59 mata kepada 1,452.07 daripada 1,454.66 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

FBM KLCI dibuka 2.46 mata lebih rendah kepada 1,452.20.

Walau bagaimanapun, bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 171 berbanding 159 manakala 269 kaunter tidak berubah, 1,629 kaunter tidak diniagakan dan 22 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 279.98 juta unit bernilai RM74.44 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata dalam melangkah ke hadapan, kadar faedah akan menjadi tumpuan pelabur susulan jangkaan tempoh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan melonggarkan pendiriannya.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng mendatar hanya di atas paras 17,000 untuk berakhir 14 peratus lebih rendah tahun ke tahun.

"Walau bagaimanapun, dana asing bersedia untuk kembali secara besar-besaran kepada saham Hong Kong memandangkan ramai yang menganggap penilaian mereka sangat menarik," katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI mengakhiri 2023 pada hanya di bawah 1,455.

Beliau berkata, pada tahap semasa, penilaian pasaran dianggarkan sekitar 14 kali julat yang menawarkan saranan nilai yang baik.

"Justeru, kami menganggap aliran dana asing ke dalam bursa tempatan akan berterusan susulan pengukuhan ringgit yang meningkat di bawah paras 4.60 berbanding dolar AS.

"Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,455 hingga 1,465 manakala bank kekal sebagai fokus utama," katanya.

Di Bursa Malaysia, antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing susut 1.0 sen kepada RM8.88 dan RM4.28, CIMB turun 2.0 sen kepada RM5.83, Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing kurang 4.0 sen kepada RM10.00 dan RM5.99 manakala Petronas Chemicals susut 3.0 sen kepada RM7.13.

Daripada saham aktif, Fast Energy naik 6.0 sen kepada 19 sen, Hong Seng kekal pada 2.5 sen, Sarawak Cable meningkat 5.5 sen kepada 43 sen, Bioalpha Holdings menambah 2.0 sen kepada 13 sen, dan PNE PCB menokok satu sen kepada 9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 3.85 mata kepada 14,616.84 dan Indeks FBM ACE naik 19.39 mata kepada 5,341.39.

Walau bagaimanapun, Indeks FBMT 100 turun 13.21 mata kepada 10,472.51, Indeks FBM Emas Syariah susut 14.31 mata kepada 10,974.40 dan Indeks FBM Emas kurang 12.65 mata kepada 10,811.05.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.24 mata kepada 172.75 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.28 mata kepada 16,295.76.

Indeks Perladangan kurang 2.01 mata kepada 7,005.95, Indeks Tenaga meningkat 1.68 mata kepada 819.41, Indeks Hartanah kurang 0.83 mata kepada 861.28.

Pasaran ditutup pada semalam 1 Jan, 2024 sempena Tahun Baharu 2024.

-BERNAMA

Berita Harian X