Khamis, 28 Disember 2023 | 7:07pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 486 berbanding 404 - Gambar hiasan
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 486 berbanding 404 - Gambar hiasan

Bursa Malaysia ditutup tinggi dua hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi untuk hari kedua berturut-turut berikutan munculnya aktiviti membeli saham-saham berharga rendah disebabkan jualan baru-baru ini, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.19 mata atau 0.22 peratus kepada 1,457.41 daripada 1,454.22 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.36 mata lebih rendah kepada 1,453.86 dan bergerak di antara 1,453.06 dan 1,459.10 sepanjang hari.

Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 486 berbanding 404, manakala 466 kaunter tidak berubah, 945 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.24 bilion unit yang bernilai RM2.39 bilion daripada 3.29 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Rabu.

Namun begitu, Public Investment Bank Bhd berkata, FBM KLCI dijangka bergerak sekitar 1,455 dalam tempoh terdekat, dipengaruhi dengan sentimen pasaran pada ketika ini.​​

Seorang lagi peniaga berkata, pergerakan pasaran mungkin agak lembap menjelang akhir tahun, dengan aliran masuk daripada pelabur-pelabur runcit dan institusi agak perlahan.

"Lebih-lebih lagi, di sebalik sentimen optimistik di Wall Street, sesetengah pelabur boleh merasa bimbang bahawa pasaran mungkin terlalu optimistik, yang membawa kepada kekecewaan jika Rizab Persekutuan (Fed) AS mula memotong kadar faedah lewat daripada jangkaan," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing naik satu sen kepada RM8.91 dan RM7.21. Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.28, CIMB menambah empat sen kepada RM5.84, dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM10.00.​

Antara saham aktif, Pelikan meningkat 16.5 sen kepada 33.5 sen, Hong Seng naik setengah sen kepada 2.5 sen, Sarawak Cable menambah satu sen kepada 40 sen, VSolar melonjak lima sen kepada 22.5 sen, dan Minetech susut setengah sen kepada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 turun 2.57 mata kepada 14,627.14, Indeks FBM Emas Syariah menyusut 4.77 mata kepada 11,023.73, manakala Indeks FBM Emas meningkat 18.02 mata kepada 10,843.62, Indeks FBMT 100 menokok 16.67 mata kepada 10,503.07 dan Indeks FBM ACE menambah 62.37 mata kepada 5,271.75.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 1.02 mata kepada 7,017.31, Indeks Hartanah jatuh 0.36 mata kepada 864.16 dan Indeks Tenaga susut 2.21 mata kepada 819.97.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.25 mata kepada 172.87 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 82.43 mata kepada 16,297.52.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.83 bilion unit bernilai RM2.06 bilion berbanding 2.0 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Rabu.​​​

Jumlah dagangan waran sebanyak 481.60 juta unit bernilai RM64.44 juta berbanding 466.22 juta unit bernilai RM61.49 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 913.45 juta saham bernilai RM265.69 juta berbanding 810.65 juta saham bernilai RM212.73 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 540.97 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (927.92 juta); pembinaan (184.04 juta); teknologi (432.19 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (79.47 juta); hartanah (245.49 juta); perladangan (14.91 juta); REIT (7.23 juta), dana tertutup (38,500); tenaga (182.25 juta); penjagaan kesihatan (96.89 juta); telekomunikasi dan media (23.61 juta); pengangkutan dan logistik (34.18 juta); serta utiliti (64.13 juta).​

-BERNAMA

Berita Harian X