Rabu, 27 Disember 2023 | 10:20pm

Bursa ditutup tinggi, pelabur beli saham harga rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini mengakhiri penurunan selama empat hari dagangan berturut-turut, disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah dan petanda aktiviti memperelokkan akaun seiring dengan prestasi positif di pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.44 mata atau 0.24 peratus untuk ditutup kepada 1,454.22 daripada paras penutup 1,450.78 pada Selasa.

FBM KLCI dibuka tinggi naik kepada 1,452.37 dan bergerak antara jajaran 1,452.08 dan 1,455.44 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 468 berbanding 380, manakala 467 kaunter tidak berubah, 988 tidak diniagakan dan 56 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.29 bilion unit bernilai RM2.06 bilion daripada 2.91 bilion unit bernilai RM1.96 bilion pada Selasa.

Ketua penyelidik Apex Securities Bhd, Kenneth Leong, berkata sentimen yang bertambah baik di Wall Street turut dicerminkan menerusi prestasi positif di pasaran serantau termasuk Bursa Malaysia, yang menyokong lagi kenaikan di bursa tempatan.

"Kami menjangkakan bursa akan terus pulih dengan indeks utama dijangka mendapat sokongan daripada momentum hari ini.

"Aktiviti memperelokkan akaun dijangka memberikan lagi rangsangan kepada indeks utama dengan sentimen memihak kepada kemungkinan penurunan faedah di Amerika Syarikat (AS)," katanya kepada Bernama.

Leong berkata, pelabur akan memantau rapat data jualan rumah AS yang akan dikeluarkan pada Khamis.

"Buat masa ini, aktiviti dagangan dijangka kekal kecil bagi tempoh berbaki minggu ini susulan cuti sempena perayaan Krismas dan cuti akhir tahun," katanya.

Dari perspektif teknikal, beliau berkata, FBM KLCI melantun semula daripada purata pergerakan 50 hari, yang mana pemulihan seterusnya mungkin meningkatkan lagi indeks utama ke arah paras rintangan segera pada 1,465.

"Sementara itu, paras sokongan jangka terdekat dilihat pada 1,430," katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank naik satu sen masing-masing kepada RM8.90 dan RM4.25, CIMB Group meningkat dua sen kepada RM5.80 dan TNB tidak berubah pada RM10.0.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sarawak Cable meningkat 11 sen kepada 39 sen, Zelan naik 1.5 sen kepada 8.5 sen, manakala SMTrack, Widad dan Leform menokok setengah sen masing-masing kepada 5.5 sen, 47.5 sen dan 41.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 4.12 mata kepada 14,629.71, Indeks FBM Emas Shariah naik 16.97 mata kepada 11,028.50, Indeks FBM Emas menokok 20.45 mata kepada 10,825.60 dan Indeks FBMT 100 menambah 19.22 mata kepada 10,486.40.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE susut 9.59 mata kepada 5,209.38.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 20.20 mata kepada 7,018.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.08 mata kepada 172.62, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 23.64 mata kepada 16,215.08, manakala Indeks Hartanah menokok 0.60 mata kepada 864.52 dan Indeks Tenaga menambah 2.75 mata kepada 822.18.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada dua bilion unit bernilai RM1.79 bilion daripada 1.89 bilion unit bernilai RM1.67 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 466.22 juta unit bernilai RM61.49 juta daripada 116.57 juta unit bernilai RM12.84 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 810.65 juta saham bernilai RM212.73 juta daripada 846.89 juta saham bernilai RM269.45 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 344.44 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (639.87 juta); pembinaan (181.13 juta); teknologi (137.61 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (91.88 juta); hartanah (172.49 juta); perladangan (13.56 juta); REITs (8.32 juta), dana tertutup (13,400); tenaga (156.91 juta); penjagaan kesihatan (121.95 juta); telekomunikasi dan media (24.20 juta); pengangkutan dan logistik (47.49 juta); dan utiliti (62.75 juta). -- Bernama

Berita Harian X