Rabu, 20 Disember 2023 | 9:15pm
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama - Gambar hiasan
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama - Gambar hiasan

Ringgit uji RM4.60 sedolar AS menjelang tahun baharu

KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan jangkaan oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk melonggarkan dasar monetarinya tahun depan.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6555/6605 berbanding dolar AS daripada 4.6760/6805 pada penutup Selasa.​

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ia adalah hari yang kukuh untuk ringgit sejajar dengan mata wang Kumpulan 10 (G10), terutamanya yen Jepun, yang pulih dengan cepat daripada cetusan jualan besar-besaran disebabkan langkah Bank of Japan semalam.

Beliau berkata, pemangkin utama ialah jangkaan untuk pemotongan kadar faedah Fed dengan fokus penting ialah pada data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS pada Jumaat.​

"Jika kejutan menaik gagal menjadi kenyataan, ia boleh menjadi penghalang kepada percubaan Fed untuk menolak semula pemotongan kadar faedah pada Mac.

"Dalam senario sebegitu, kita boleh menyaksikan ringgit mengukuh dengan ketara dan berpotensi melanjutkan kenaikan ke tahun baharu dengan menguji paras 4.60," kata Innes kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata People's Bank of China tetap mengekalkan kadar pinjamannya tidak berubah kepada 3.45 peratus untuk menetapkan pendirian monetari yang akomodatif bagi menyokong ekonomi.

Beliau berkata pelonggaran monetari global boleh menjadi tema utama tahun depan dan ini boleh membantu meningkatkan nilai mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit.

"Mata wang tempatan telah melepasi paras sokongan segeranya pada RM4.6611 berbanding dolar AS dan paras sokongan seterusnya ialah pada RM4.5778," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.​​

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9027/9090 daripada 5.9376/9433 pada penutup Selasa dan naik berbanding euro kepada 5.1043/1098 daripada 5.1146/1195.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2465/2502 daripada 3.2358/2393.

Nota tempatan itu juga didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.35/8.36 daripada 8.35/8.37 pada penutup semalam tetapi mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 300.1/300.5 daripada 301.5/301.9.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5027/5968 daripada 3.5089/5128 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.3392/3596 daripada 13.3604/3805 sebelum ini.

-BERNAMA

Berita Harian X