Rabu, 20 Disember 2023 | 11:22am
Indeks dijangka berlegar dalam julat 1,460 hingga 1,470 hari ini -NSTP/Nabila Adlina Azahari
Indeks dijangka berlegar dalam julat 1,460 hingga 1,470 hari ini -NSTP/Nabila Adlina Azahari

Bursa Malaysia meningkat bersama prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu menjejaki prestasi positif Wall Street dalam tempoh semalaman, didorong kenyataan terbaru oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengenai kadar faedah.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.30 mata kepada 1,466.97 daripada 1,465.67 ketika ditutup pada Selasa.

FBM KLCI dibuka 0.76 mata lebih tinggi kepada 1,466.43.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 142 berbanding 121, manakala 272 kaunter tidak berubah, 1,782 kaunter tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 164.89 juta unit bernilai RM73.54 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee, berkata walaupun aliran meningkat baru-baru ini telah mengatasi asas namun, pelabur tetap tidak berganjak dengan pendirian bahawa 'masih ada peluang untuk meraih hasil daripada ekuiti'.

Beliau berkata, Purata Perindustrian Dow Jones meningkat 252 mata semalaman, manakala Nasdaq menambah 98 mata namun, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS susut kepada 3.931 peratus.

Di peringkat domestik, 1,465 mungkin menjadi paras rintangan yang sukar, katanya.

Beliau berkata, jika paras itu tidak dapat dilepasi dengan yakin dalam tempoh terdekat maka, indeks dijangka menjejak kembali di bawah paras 1,460.

"Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,460 hingga 1,470 dengan minat kembali kepada saham bank dan perladangan," katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Public Bank naik satu sen kepada RM4.35, CIMB meningkat tiga sen kepada RM5.99, Petronas Chemicals menokok empat sen kepada RM7.13 manakala Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing turun satu sen kepada RM8.97 dan RM9.99.

Bagi saham aktif, Jati Tinggi naik 4.5 sen kepada 31.5 sen, Dagang NeXchange menambah satu sen kepada 40.5 sen manakala AT Systematization dan Tanco masing-masing meningkat setengah sen kepada satu sen dan 59 sen.

Top Glove turun setengah sen kepada 93.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.22 mata kepada 10,872.78; Indeks FBMT 100 menokok 9.08 mata kepada 10,539.60; Indeks FBM 70 meningkat 11.43 mata kepada 14,545.45; Indeks FBM Emas Syariah menambah 1.89 mata kepada 10,986.58 manakala Indeks FBM ACE melonjak 22.96 mata kepada 5,206.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 35.31 mata kepada 16,541.01; Indeks Perladangan naik 0.48 mata kepada 7,005.08; Indeks Tenaga menokok 0.68 mata kepada 819.13 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.10 mata kepada 171.74.

-BERNAMA

Berita Harian X