Isnin, 18 Disember 2023 | 6:46pm
Pasaran saham tempatan dijangka kekal optimis NSTP/Aswadi Alias
Pasaran saham tempatan dijangka kekal optimis NSTP/Aswadi Alias

Bursa Malaysia melonjak hari keenam berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini meneruskan aliran meningkatnya bagi hari keenam berturut-turut dengan belian tertumpu terutamanya pada saham berkaitan tenaga, bank dan komoditi.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.83 mata kepada 1,465.28 daripada paras penutup 1,462.45 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.89 mata kepada 1,461.56 dan bergerak antara paras 1,460.42 dan 1,468.74 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 459 berbanding 373, manakala 546 kaunter tidak berubah, 942 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.81 bilion unit bernilai RM3.02 bilion daripada 3.77 bilion unit bernilai RM3.40 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata berbanding bursa tempatan, indeks utama serantau ditutup kebanyakannya rendah ekoran pengambilan untung susulan kenaikan baru-baru ini.

"Namun begitu, pelabur masih memantau rapat sebarang bayangan perubahan kepada dasar kadar faedah hampir sifar bank pusat Jepun yang dikekalkan sejak sekian lama," katanya kepada Bernama.

Bank of Japan dijangka mengumumkan keputusan kadar faedahnya esok.

Pak Leng berkata, pasaran saham tempatan dijangka kekal optimis didorong oleh penilaian menarik, peningkatan jumlah dagangan dan sokongan daripada aliran masuk asing yang konsisten.

Namun begitu, beliau juga menjangka akan berlaku aktiviti pengambilan untung.

"Indeks petunjuk pasaran sekali lagi menguji paras rintangan 1,465.

"Sekiranya FBM KLCI dapat melepasi dan bertahan di atas paras rintangan 1,465 bagi satu tempoh yang panjang, kami menjangkakan potensi kenaikan lagi.

"Kami mengunjur indeks petunjuk pasaran berada dalam jajaran 1,455-1,475 bagi minggu ini dengan paras rintangan seterusnya pada 1,500 dan paras sokongan pada 1,450," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik empat sen kepada RM4.35, CIMB meningkat 11 sen kepada RM5.94, Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals meningkat empat sen setiap satu masing-masing kepada RM9.99 dan RM7.19, manakala Maybank tidak berubah pada RM9.00.

Dalam kalangan kaunter cergas, Top Glove naik enam sen kepada 96 sen, Careplus meningkat 11.5 sen kepada 46.5 sen, Critical Holdings melonjak 22 sen kepada 57 sen, Minetech menokok satu sen kepada 13 sen, manakala Zen Tech tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.55 mata kepada 10,858.43, Indeks FBMT 100 menokok 22.05 mata kepada 10,524.32 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 15.03 mata kepada 10,984.78.

Indeks FBM 70 meningkat 37.43 mata kepada 14,511.55 dan Indeks FBM ACE susut 19.27 mata kepada 5,161.40.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 88.55 mata kepada 16,525.51 dan Indeks Tenaga turun 2.89 mata kepada 813.40.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.05 mata kepada 172.42 dan Indeks Perladangan susut 14.63 mata kepada 7,031.94.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.81 bilion unit bernilai RM2.60 bilion daripada 2.47 bilion unit bernilai RM3.1 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Jumlah dagangan waran mengukuh kepada 746.97 juta unit bernilai RM95.73 juta daripada 666.24 juta unit bernilai RM102.66 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat 1.25 bilion saham bernilai RM327.28 juta daripada 630.38 juta saham bernilai RM203.94 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 382.75 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (577.57 juta); pembinaan (156.98 juta); teknologi (144.02 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (95.11 juta); hartanah (268.10 juta); perladangan (18.41 juta); REITs (9.79 juta), dana tertutup (4,000); tenaga (169.83 juta); penjagaan kesihatan (804.06 juta); telekomunikasi dan media (47.13 juta); pengangkutan dan logistik (30.42 juta); dan utiliti (102.25 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X