Jumaat, 15 Disember 2023 | 7:17pm
Gambar fail
Gambar fail

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan keputusan terkini Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu ini.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.6675/6720 berbanding dolar US daripada 4.6695/6745 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur kelihatan memahami sepenuhnya hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan FOMC terbaharu.

Rizab Persekutuan (Fed) AS telah memberi petunjuk untuk mengurangkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) pada 2024.

FOMC memutuskan untuk memastikan FFR berada dalam kedudukan stabil pada 5.25-5.50 peratus pada mesyuarat terbaharunya.

"Ringgit berbanding dolar AS berada dalam julat kecil hari ini. Ia meningkat kepada setinggi RM4.6728 pada sesi awal dagangan tetapi berada pada RM4.6667 pada sesi dagangan petang," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2930/2966 daripada 3.2977/3014 ketika ditutup pada Khamis.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.9646/9703 daripada 5.9130/9193 dan berkurangan berbanding euro kepada 5.1165/1214 daripada 5.0888/0943 semalam.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.40 daripada 8.37/8.38 ketika penutupan pada Khamis dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5136/5173 daripada 3.5101/5141 semalam.

Ringgit jatuh berbanding baht Thai kepada 13.3970/41769 daripada 13.3205/3424 dan menguncup berbanding rupiah Indonesia pada 301.2/301.6 daripada 301.1/301.6 ketika ditutup semalam. - BERNAMA

Berita Harian X