Khamis, 14 Disember 2023 | 11:57am

Ringgit meningkat berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat pagi ini, dibuka lebih tinggi apabila Indeks dolar AS (DXY) merosot selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) memberikan isyarat jelas mengenai pendirian monetarinya untuk tahun depan.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6610/6670 berbanding dolar AS daripada 4.7035/7085 pada penutup Rabu.

DXY susut 0.96 peratus kepada 102.869 mata.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) telah memutus untuk mengekalkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) pada 5.25 peratus hingga 5.50 peratus tetapi membayangkan lebih banyak penurunan kadar faedah antara 2024 dan 2026.

"Rizab Persekutuan memberi isyarat bahawa penurunan kadar akan berlaku pada 2024. Persoalan utama sekarang ialah kuantum pengurangan kadar, dan seberapa pantas mereka bersedia untuk mengubah pendirian mereka," katanya kepada Bernama.

Hasil Perbendaharaan AS dua tahun turun 27 mata asas untuk ditutup pada 4.46 peratus manakala nota 10 tahun pula 4.04 peratus, susut 16 mata asas.

Mohd Afzanizam berkata mata wang tempatan juga dijangka terus meningkat hari ini ekoran petunjuk jelas daripada Rizab Persekutuan.

"Ringgit telah pun melepasi paras sokongan segeranya pada RM4.6611 kepada dolar AS. Paras sokongan seterusnya adalah pada RM4.5778," katanya.

Sementara itu, berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih baik dalam dagangan awal.

Mata wang tempatan meningkat nilai berbanding pound Britain kepada 5.8896/8972 daripada 5.8916/8979, turun berbanding euro menjadi 5.0768/0833 daripada 5.0737/0791 semalam dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2775/2820 daripada 3.2249/2285 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi.

Ringgit mengukuh nilai berbanding peso Filipina kepada 8.35/8.38 daripada 8.39/8.40 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia untuk mencatatkan paras 297.5/298.1 daripada 300.2/300.8 semalam.

Nilai mata wang tempatan seterusnya meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4995/5045 daripada 3.5001/5041 sebelumnya tetapi rendah berbanding baht Thai pada 13.2864/3115 daripada 13.1390/1592.

– Bernama

Berita Harian X