Rabu, 13 Disember 2023 | 10:21am
Ringgit diniagakan lebih baik berbanding mata wang utama - Gambar hiasan
Ringgit diniagakan lebih baik berbanding mata wang utama - Gambar hiasan

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR; Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dan dijangka diniagakan tidak berubah berikutan peserta pasaran menunggu keputusan daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada malam ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6815/6888 berbanding dolar AS daripada 4.6830/6855 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, bekata sebarang isyarat dengan kecenderungan kepada penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS adalah positif kepada ringgit.

"Ini akan dijelaskan dalam kenyataan FOMC apabila mereka mengeluarkan keputusan itu malam ini dan unjuran suku tahunan terkini bagi pembolehubah makroekonomi pada 2024, 2025 dan 2026. Saya berpandangan bahawa situasi hari ini terarah kepada pendirian tunggu dan lihat," katanya kepada Bernama.

Berhubung rombakan Kabinet Malaysia yang diumumkan semalam, beliau berkata langkah itu belum memberikan impak positif kepada ringgit.

Bagaimanapun, perubahan yang berlaku terhadap barisan Kabinet sewajarnya memberi manfaat kepada pasaran mata wang dalam jangka sederhana memandangkan pelaksanaan dasar dan hasilnya memerlukan lebih penjelasan, katanya.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Dini pula berkata, dagangan dalam jajaran kecil hari ini turut berpunca daripada sentimen tidak pasti berikutan data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang seiring dengan jangkaan (3.1 peratus).

"Data IHP teras ini turut sealiran dengan jangkaan pasaran pada 4.0 peratus. Apabila data diterima seperti yang dijangkakan, pasaran cenderung untuk memperlihatkan situasi tidak pasti," katanya.

Ringgit turut diniagakan lebih baik berbanding mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8790/8872 daripada 5.8842/8873 semasa ditutup pada Selasa, naik berbanding euro kepada 5.0532/0602 daripada 5.0548/0575 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.22213/2233 daripada 3.2212/2232 semalam.

Ringgit turut didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia menokok berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.42 daripada 8.42/8.43 semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 299.6/300.2 daripada 299.7/300.1.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4890/4941 berbanding 3.4898/4920 semalam dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.0988/1239 daripada 13.1261/1390 semasa ditutup pada Selasa.

-BERNAMA

Berita Harian X