Khamis, 7 Disember 2023 | 12:01pm

Ringgit dibuka rendah, permintaan dolar AS meningkat

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini apabila Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.1 peratus kepada 104.153 mata.

Jangkaan pelabur mengenai pengurangan kadar yang lebih awal oleh Bank Pusat Eropah turut membantu menyokong dolar AS.

Pada 9.06 pagi, ringgit berada pada paras 4.6705/6750 berbanding dolar AS daripada 4.6665/6700 penutup semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran bon terus meningkat berikutan situasi petunjuk pasaran buruh yang semakin lemah.

Menurutnya, pengurus dana dilihat yakin dengan pasaran bon dengan jangkaan pertumbuhan global yang lebih lemah pada 2024, justeru, mengalihkan wang mereka kepada bon ekonomi utama.

"Oleh itu, memandangkan Indeks Dolar AS terus kekal positif, ringgit dijangka berlegar antara RM4.66 hingga RM4.68 hari ini," katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 5.0301/0350 daripada 5.0356/0394 pada penutupan Rabu, lebih tinggi berbanding pound Britain pada 5.8666/8723 daripada 5.8793/8837 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.1757/1790 daripada 3.1672/1700 sebelumnya.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.44/8.45 pada hari Rabu dan lebih tinggi berbanding baht Thai pada 13.2700/2903 daripada 13.2714/2908.

Nilai mata wang tempatan itu bagaimanapun tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 301.4/301.8 daripada 301.1/301.5 dan lemah sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.4810/4849 daripada 3.4801/4830 semalam. – Bernama

Berita Harian X