Isnin, 4 Disember 2023 | 8:59pm
Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama - Gambar hiasan
Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama - Gambar hiasan

Ringgit naik kepada RM4.65 sedolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini didorong jangkaan bahawa kenaikan kadar faedah AS sudah berakhir berdasarkan kenyataan yang cenderung menurunkan kadar faedah oleh Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell pada Jumaat.

Turut memainkan peranan ialah data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) dan kadar pengangguran di AS untuk November yang akan dikeluarkan minggu ini yang mampu mempengaruhi prospek kadar faedah AS, terutamanya berkaitan harapan pemotongan kadar lebih awal.

Pada jam 6 petang, ringgit naik kepada 4.6550/6600 berbanding dolar AS daripada 4.6710/6760 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit menembusi paras rintangan serta-merta pada RM4.6611 hari ini.

"Pada ketika ini, ringgit diniagakan sekitar RM4.6568 dengan paras rintangan seterusnya pada RM4.5778 berdasarkan carta anjakan Fibonacci," katanya.

Powell pada Jumaat menolak jangkaan pasaran untuk pemotongan kadar faedah yang agresif pada masa hadapan.

Bagaimanapun, kenyataan beliau seakan mengesahkan bahawa Fed sekurang-kurangnya telah menghentikan kenaikan kadar dengan ketua Fed menyatakan bahawa "inflasi berada pada landasan yang betul".

Justeru, pasaran sebahagian besarnya menganggap kenyataan Powell itu cenderung kepada menurunkan kadar.

"Dari sudut teknikal, peningkatan nilai ringgit kelihatan terhad memandangkan gandingan dolar AS-ringgit sudah berada pada atau menghampiri keadaan terlebih beli," kata Mohd Afzanizam.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia menokok berbanding euro kepada 5.0623/0677 daripada 5.0900/0954 ketika ditutup pada Jumaat, dan naik berbanding pound Britain kepada 5.8997/9061 daripada 5.9168/9231 sebelum itu.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 3.1751/1787 daripada 3.1591/1627sebelum itu.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.4882/4925 daripada 3.4973/5016 pada Jumaat, mengukuh berbanding baht That kepada 13.3183/3368 daripada 13.3301/3505 sebelum itu, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 300.9/301.5 daripada 301.5/302.1 dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.42 daripada 8.43/8.44 sebelum itu.

-- BERNAMA

Berita Harian X