Jumaat, 1 Disember 2023 | 10:50am
Prestasi eksport dan import Malaysia susut sebanyak lapan peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023 -NSTP/Faiz Anuar
Prestasi eksport dan import Malaysia susut sebanyak lapan peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023 -NSTP/Faiz Anuar

Dagangan negara lebih RM2 trilion walaupun berdepan cabaran

KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023 telah terkesan dan dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dunia yang kurang memberangsangkan dengan kadar inflasi global yang tinggi, ketidaktentuan harga komoditi serta impak kesan asas yang tinggi, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian itu menyatakan, meskipun prestasi eksport dan import Malaysia masing-masing telah menyusut sebanyak lapan peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023 berbanding tahun lalu, nilai dagangan global Malaysia telah melepasi paras RM2 trilion, mencecah nilai RM2.181 trilion.

"Eksport juga telah melepasi paras RM1 trilion kepada RM1.186 trilion; manakala import bernilai RM995.55 bilion. Lebihan dagangan menyusut 7.9 peratus kepada RM190.04 bilion," katanya dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman web Parlimen bertarikh 29 November.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan bagaimanakah Malaysia mendepani situasi ketidaktentuan ekonomi dan juga gelora geopolitik di peringkat global supaya nilai dagangan eksport tidak terjejas malah boleh dipertingkatkan.

Menurut MITI, penyusutan itu seiring dengan prestasi di kebanyakan pasaran rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Indonesia dan China yang masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada tempoh Januari hingga Oktober 2023.

Bagi mendepani situasi ketidaktentuan ekonomi dan krisis geopolitik semasa, pihak kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), agensi di bawah MITI telah merangka pelbagai strategi dan pendekatan.

Antara strategi dan pendekatan tersebut adalah Matrade meningkatkan eksport ke pasaran di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan tarif lebih rendah dikenakan terhadap barangan Malaysia seperti minyak sawit, barangan elektrik & elektronik (E&E), produk automotif dan lain-lain.

MITI berkata, menerusi rangkaian 46 pejabat di luar negara, Matrade memainkan peranan untuk membawa pembeli-pembeli asing yang berkualiti untuk dipadankan dengan syarikat-syarikat tempatan di acara pameran perdagangan antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia seperti Oil & Gas Asia (OGA), Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM).

Tambahnya, NATRADE turut mengambil pendekatan dalam mempelbagaikan destinasi eksport terutamanya ke pasaran bukan tradisional seperti Asia Tengah dan Amerika Latin yang menunjukkan potensi tinggi iaitu pada tempoh 10 bulan pertama tahun 2023, eksport ke pasaran-pasaran berkenaan mencatatkan pertumbuhan yang positif, masing-masing sebanyak 17.3 peratus dan 3.9 peratus.

MATRADE turut melaksanakan pelbagai program pembangunan pengeksport untuk memupuk kemampanan dan amalan kelestarian dalam kalangan penggiat industri tempatan selain memudah cara syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa melalui Geran Pembangunan Pasaran.

MATRADE juga menawarkan Dana Eksport Perkhidmatan (SEF) iaitu geran bayaran balik untuk meningkatkan eksport perkhidmatan Malaysia merangkumi pelaksanaan kajian projek, pembidaan tender antarabangsa, kos perjalanan untuk mesyuarat bersama pelanggan berpotensi di luar negara dan sebagainya.

Kerajaan juga melaksanakan program Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan (MGPP) ke luar negara bertujuan mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan langsung asing (FDI), serta barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia bagi meningkatkan eksport, menggalakkan kerjasama pelaburan dan perdagangan dua hala antara kerajaan, dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Inisiatif-inisiatif yang telah dinyatakan merupakan antara usaha kerajaan bagi meningkatkan semula nilai dagangan eksport yang menurun berikutan persekitaran global yang tidak menentu," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X