Rabu, 29 November 2023 | 10:10am
Perkembangan semasa di AS menguntungkan ringgit - Gambar hiasan
Perkembangan semasa di AS menguntungkan ringgit - Gambar hiasan

Ringgit mengukuh kepada RM4.64 sedolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum aliran pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Rabu selepas hasil Perbendaharaan AS dan indeks dolar turun ke paras terendah dalam tempoh beberapa bulan, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6415/6465 berbanding dolar AS berbanding 4.6690/6725 pada akhir urus niaga semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dolar AS susut berikutan kenyataan Gabenor Rizab Persekutuan AS (Fed), Christopher Waller pada Selasa yang cenderung terhadap penurunan kadar faedah.

Waller dilaporkan berkata bahawa beliau semakin yakin bahawa dasar semasa di kedudukan baik bagi meredakan ekonomi serta mengembalikan inflasi AS pada paras 2.0 peratus.

Menurut Innes, kenyataan sedemikian daripada seorang pemimpin Fed hanya mengesahkan lagi kecenderungan pasaran yang sudah bersedia untuk menyaksikan pengurangan kadar faedah pada tahun depan.

"Hasil Perbendaharaan dua tahun AS yang berkaitan dengan jangkaan kadar faedah Dana Fed, mencecah 4.75 peratus iaitu titik terendah sejak Ogos.

"Perkembangan ini hanya menguntungkan ringgit. Oleh itu, tidak menghairankan apabila pasaran memulakan urus niaga di bawah paras utama 4.50," katanya kepada Bernama.

Pada sesi awal, ringgit bagaimanapun diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali berbanding euro yang mengukuh kepada 5.1121/1177 daripada 5.1140/1178, semalam.

Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1629/1665 daripada 3.1430/1456 semalam dan susut berbanding pound Britain kepada 5.9054/9117 daripada 5.8965/9009 sebelum ini.

Namun pada masa sama, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang ASEAN.

Ia meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.4920/4962 daripada 3.4948/4976, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.40 daripada 8.42/8.43 dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 300.6/301.1 daripada 302.4/302.8, semalam.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding baht Thailand kepada 13.3915/4137 daripada 13.3629/3791, sebelum ini.

-BERNAMA

Berita Harian X