Selasa, 28 November 2023 | 6:48pm
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 526 berbanding 390 - Gambar hiasan
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 526 berbanding 390 - Gambar hiasan

Bursa Malaysia ditutup dalam lingkungan negatif

KUALA LUMPUR: FBM KLCI mengurangkan penurunan, bagaimanapun kekal dalam lingkungan negatif semasa ditutup hari ini susulan pelabur enggan mengubah pendirian berikutan kekurangan minat belian dan sentimen pasaran yang lemah, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.13 mata kepada 1,448.02 daripada 1,448.15 sewaktu ditutup pada Isnin.

Indeks barometer dibuka meningkat 2.04 mata kepada 1,450.19 sebelum bergerak antara 1,446.60 dan 1,452.60 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 526 berbanding 390, manakala 450 kaunter tidak berubah, 1,044 tidak diniagakan dan 72 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.81 bilion unit bernilai RM2.38 bilion daripada 3.09 bilion unit bernilai RM2.05 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata indeks serantau utama ditutup kebanyakannya rendah disebabkan isyarat negatif daripada ekuiti global dalam tempoh semalaman.

Beliau berkata pelabur bersemangat menantikan ramalan kemas kini data inflasi dan memikirkan bagaimana respons pengguna di Amerika Syarikat (AS) terhadapnya.

Di dalam negara, meskipun dalam keadaan sentimen berhati-hati, Pak Leng berkata penjualan secara besar-besaran memberi peluang kepada pelabur untuk membeli saham semasa harga rendah.

"Sehubungan itu, kami menjangka belian semasa harga rendah akan berlaku dan meramalkan indeks petunjuk pasaran pada julat 1,445 hingga 1,465 untuk tempoh berbaki minggu ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group turun 7.0 sen kepada RM5.68, Petronas Chemicals susut 1.0 sen kepada RM7.08, RHB Bank berkurangan 6.0 sen kepada RM5.51, PPB merosot 12 sen kepada RM14.06, manakala Public Bank dan PMetal masing-masing turun 2.0 sen kepada RM4.22 dan RM4.85.

Bagi saham aktif, Hong Seong tidak berubah pada 2.5 sen, Top Glove menokok 2.0 sen kepada 90 sen, CSH meningkat setengah sen kepada 6.0 sen dan Leform menokok 1.5 sen kepada 31.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 2.89 mata kepada 10,722.57, Indeks FBMT 100 susut 4.07 mata kepada 10,386.55, manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 18.87 mata kepada 10,892.93.

Indeks FBM 70 menyusut 19.17 mata kepada 14,262.17 dan Indeks ACE FBM turun 23.16 mata kepada 5,084.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 63.99 mata kepada 16,277.91, Indeks Tenaga susut 8.77 mata kepada 821.91 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.54 mata kepada 171.70, manakala Indeks Perladangan menambah 63.12 mata kepada 7,006.57.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 2.45 bilion unit bernilai RM2.07 bilion daripada 1.82 bilion unit bernilai RM1.71 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 572.27 juta unit bernilai RM68.95 juta berbanding 496.10 juta unit bernilai RM63.91 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 781.40 juta saham bernilai RM242.71 juta berbanding 776.51 juta saham bernilai RM279.85 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 337.19 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (572.28 juta); pembinaan (103.42 juta); teknologi (557.23 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (69.53 juta); hartanah (201.02 juta); perladangan (29.91 juta); REIT (9.63 juta), dana tertutup (58,100); tenaga (136.83 juta); penjagaan kesihatan (277.21 juta); telekomunikasi dan media (30.47 juta); pengangkutan dan logistik (41.13 juta) dan utiliti (86.14 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X