Jumaat, 24 November 2023 | 10:32am
Bursa Malaysia mengambil petunjuk prestasi pasaran serantau lain -NSTP/Nabila Adlina Azahari
Bursa Malaysia mengambil petunjuk prestasi pasaran serantau lain -NSTP/Nabila Adlina Azahari

Pelabur buru saham murah, Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, disokong kegiatan memburu saham berharga murah selain mengambil petunjuk prestasi pasaran serantau lain.

Pada 9.33 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.83 mata kepada 1,455.12 daripada penutupan semalam pada 1,453.29.

Indeks dibuka 2.49 mata lebih baik pada 1,455.78.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 265 berbalas 226, manakala 320 kaunter tidak berubah, 1,591 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 572.35 juta unit bernilai RM317.79 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup untuk sambutan Hari Kesyukuran, manakala pasaran serantau utama ditutup kebanyakannya lebih tinggi semalam dengan keuntungan kukuh di China dan Hong Kong disebabkan pembelian lewat.

"Namun begitu, kami masih mengambil sikap berhati-hati," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank, CIMB dan Petronas Chemicals semuanya menokok satu sen kepada RM9.10, RM5.75 dan RM7.17, manakala Public Bank dan Tenaga susut dua sen masing-masing kepada RM4.25 dan RM10.

Bagi saham aktif, Hong Seng naik setengah sen kepada tiga sen, Ho Wah Genting menambah dua sen kepada 24.5 sen, Top Glove dan Leform tidak berubah, masing-masing pada 88.5 sen dan 28.5 sen, manakala Careplus turun setengah sen kepada 31.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 9.49 mata kepada 10,782.60, Indeks FBMT 100 peroleh 10.60 mata menjadi 10,444.78 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 2.12 mata kepada 10,962.53.

Indeks FBM 70 menambah 3.54 mata untuk mencatatkan paras 14,373.66 tetapi Indeks FBM ACE kerugian 25.26 mata kepada 5,176.90.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 11.79 mata kepada 16,395.03, Indeks Tenaga susut 2.61 mata kepada 843.06, Indeks Perladangan meraih 8.79 mata pada 6,956.26 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.04 mata kepada 173.30.

-BERNAMA

Berita Harian X