Rabu, 22 November 2023 | 7:34pm
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 530 berbanding 374 - Gambar hiasan
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 530 berbanding 374 - Gambar hiasan

Bursa Malaysia ditutup jatuh 7.51 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini disebabkan aktiviti pengambilan untung dalam persekitaran mod penghindaran risiko semakin meningkat, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.51 mata kepada 1,455.89 daripada paras penutup 1,453.40 semalam.

Indeks barometer dibuka 2.81 mata lebih rendah kepada 1,460.59 namun susut serendah 1,454.52 ketika sesi dagangan pagi.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 530 berbanding 374, manakala 435 kaunter tidak berubah, 1,035 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.97 bilion unit bernilai RM2.04 bilion daripada 3.66 bilion unit bernilai RM2.11 bilion pada Selasa.

Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes, memberitahu Bernama FBM KLCI berada dalam aliran rendah apabila pelabur menilai semula sentimen pasaran berikutan keluaran minit Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan jangkaan penurunan kadar faedah.

Selain itu, beliau berkata minggu dagangan yang singkat kerana cuti menjelang sambutan Hari Kesyukuran (Thanksgiving) minggu ini telah mendominasi selera pelabur global, dilihat cenderung kepada pengurangan risiko dan bukannya mod mengambil risiko.

Antara kaunter berwajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM9.10, Public Bank tidak berubah pada RM4.27, CIMB berkurangan dua sen kepada RM5.77, Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM9.98.

Bagi saham aktif, Widad naik setengah sen kepada 46.5 sen, Top Glove dan Capital A meningkat tiga sen masing-masing kepada 84 sen dan 86.5 sen, Leform melonjak satu sen kepada 27.5 sen, manakala Perdana Petroleum jatuh dua sen kepada 24 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 34.44 mata kepada 10,795.57, Indeks FBMT 100 turun 34.20 mata kepada 10,454.34 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 45.30 mata kepada 10,992.99.

Indeks FBM ACE berkurangan 6.05 mata kepada 5,202.33 dan Indeks FBM 70 meningkat 38.53 mata kepada 14,404.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 27.25 mata kepada 16,396.48, Indeks Tenaga berkurangan 4.30 mata kepada 859.45, Indeks Perladangan merosot 55.40 mata kepada 6,960.68, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 1.98 mata kepada 174.05.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.79 bilion unit bernilai RM1.76 bilion daripada 2.15 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 521.94 juta unit bernilai RM54.50 juta daripada 741.11 juta unit bernilai RM92.53 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 646.86 juta unit bernilai RM227.49 juta daripada 745.51 juta unit bernilai RM219.57 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 415.87 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (356.37 juta); pembinaan (89.10 juta); teknologi (186.49 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (45.85 juta); hartanah (205.49 juta); perladangan (27.10 juta); REITs (9.59 juta), dana tertutup (37,000); tenaga (159.65 juta); penjagaan kesihatan (159 juta); telekomunikasi dan media (34.41 juta); pengangkutan dan logistik (51.88 juta); dan utiliti (60.53 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X