Selasa, 21 November 2023 | 6:53pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 500 berbanding 411 - Foto Reuters
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 500 berbanding 411 - Foto Reuters

Bursa Malaysia akhiri penurunan tiga hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri penurunan selama tiga hari berturut-turut apabila ditutup di paras tertinggi harian pada Selasa, didorong aktiviti pembelian semasa harga murah susulan penjualan besar-besaran baru-baru ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.48 mata kepada 1,463.40 daripada 1,456.92 ketika ditutup semalam.

Indeks barometer itu dibuka 1.21 mata lebih tinggi kepada 1,458.13 namun susut serendah 1,456.16 ketika sesi pagi sebelum meningkat kepada 1,463.40 semasa jam dagangan terakhir, disokong oleh pembelian pada saat-saat akhir.

Lingkungan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 500 berbanding 411, manakala 472 kaunter tidak berubah, 991 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.66 bilion unit bernilai RM2.11 bilion daripada 3.23 bilion unit bernilai RM1.70 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng menjangkakan prospek pasaran tempatan kekal stabil, dipacu oleh keuntungan korporat yang bertambah baik dan kekukuhan asas ekonomi.

"Bagi bursa tempatan, kami menasihatkan pelabur supaya kekal berhati-hati sebelum minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) dikeluarkan," katanya kepada Bernama.

Minit mesyuarat yang dijadual dikeluarkan lewat hari ini itu mengandungi pandangan terperinci berkaitan pendirian FOMC terhadap dasar monetari menjadi petunjuk bagi pelabur mengenai kadar faedah masa hadapan.

Pak Leng juga berkata, FBM KLCI dijangka berada dalam aliran berjulat 1,450 hingga 1,470 bagi baki tempoh minggu ini.

Antara kaunter berwajaran tinggi, Maybank mendatar pada RM9.11, Public Bank naik enam sen kepada RM4.27, CIMB menambah dua sen kepada RM5.79, Tenaga menokok lima sen kepada RM10.02 dan Petronas Chemicals melonjak 18 sen kepada RM7.38.

Antara saham aktif, Hong Seng, Widad dan Dagang NeXchange masing-masing tidak berubah pada tiga sen, 46 sen dan 43 sen manakala MYEG naik satu sen kepada 81.5 sen dan Leform susut 2.5 sen kepada 26.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 39.89 mata kepada 10,830.01, Indeks FBMT 100 menokok 39.24 mata kepada 10,488.54 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 36.48 mata kepada 11,038.29.

Indeks FBM ACE naik 13.13 mata kepada 5,208.38 dan Indeks FBM 70 meningkat 22.41 mata kepada 14,365.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 64.46 mata kepada 16,423.73, Indeks Tenaga naik 3.24 mata kepada 863.75, Indeks Perladangan menambah 30.08 mata kepada 7,016.08 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.45 mata kepada 176.03.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 2.15 bilion unit bernilai RM1.79 bilion berbanding 2.15 bilion unit bernilai RM1.41 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 741.11 juta unit bernilai RM92.53 juta daripada 451.48 juta unit bernilai RM70.87 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 745.51 juta saham bernilai RM219.57 juta daripada 629.63 juta saham bernilai RM220.28 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 343.40 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (362.64 juta); pembinaan (136.89 juta); teknologi (677.65 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (74.75 juta); hartanah (192.62 juta); perladangan (29.30 juta); REIT (6.85 juta); dana tertutup (83,500); tenaga (91.58 juta); penjagaan kesihatan (91.50 juta); telekomunikasi dan media (26.60 juta); pengangkutan dan logistik (42.13 juta); serta utiliti (71.05 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X