Jumaat, 8 September 2023 | 6:59pm
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 503 berbanding 364 - Foto hiasan
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 503 berbanding 364 - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup rendah sekali lagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah hari ini seiring dengan sentimen pasaran serantau yang lemah disebabkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap prospek ekonomi yang lemah, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.12 mata untuk ditutup pada 1,454.59 daripada 1,460.07 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka pada 0.53 mata lebih rendah pada 1,459.54 dan bergerak antara 1,454.70 dan 1,460.23 sepanjang hari.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 503 berbanding 364, dengan 443 kaunter tidak berubah, 1,013 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.55 bilion unit bernilai RM1.85 bilion berbanding 3.21 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup rendah berikutan sentimen pelabur terjejas oleh penjualan besar di rantau ini.

"Indeks serantau utama menunjukkan aliran rendah dengan jualan yang kukuh dalam pasaran saham Jepun apabila ekonomi Jepun berkembang lebih perlahan daripada jangkaan (pada suku kedua). Pasaran Hong Kong ditutup kerana amaran ribut. Sementara itu, saham teknologi di rantau ini terus jatuh berikutan ketegangan AS-China yang semakin meningkat," katanya kepada Bernama.

Seorang peniaga lain berkata, bahawa bursa serantau turun apabila kejatuhan dalam saham Apple semalaman menyebabkan indeks saham AS lebih rendah pada hari Khamis. Berita bahawa China akan meluaskan larangan penggunaan iPhone mengurangkan permodalan pasaran gergasi teknologi itu sejak dua sesi lepas kepada hampir US$200 bilion (RM935 bilion).

"Penanda aras Wall Street S&P 500 jatuh 0.3 peratus, dan Nasdaq Composite yang memfokuskan teknologi merosot 0.9 peratus, melanjutkan penurunan daripada sesi dagangan sebelumnya.

"Saham Apple ditutup 2.9 peratus lebih rendah pada Khamis, merosot 6.4 peratus sejak ditutup pada Selasa, penjualan dua hari yang paling ketara tahun ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank susut 3.0 sen kepada RM9.14, Tenaga Nasional turun 1.0 sen kepada RM9.86, dan CIMB merosot 5.0 sen kepada RM5.69, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM4.25 dan RM7.17.

Bagi saham aktif, Classita turun 1.0 sen kepada 7.0 sen dan JAKS Resources susut setengah sen kepada 21 sen, manakala Ekovest naik 2.5 sen kepada 53 sen dan Widad Group meningkat 1.0 sen kepada 47.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 47.88 mata kepada 10,726.92, Indeks FBMT100 jatuh 45.92 mata kepada 10,401.98, Indeks FBM Emas Syariah susut 62.54 mata kepada 10,887.50, dan Indeks FBM 70 jatuh 101.97 mata kepada 14,135.72, namun Indeks FBM ACE menokok 0.26 mata kepada 5,188.83.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 45.52 mata kepada 16,426.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.38 mata kepada 172.74, Indeks Tenaga turun 9.02 mata kepada 855.47, dan Indeks Perladangan susut 34.80 mata kepada 6,864.15.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.85 bilion unit bernilai RM1.66 bilion daripada 2.30 bilion unit bernilai RM1.82 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 215.13 juta unit bernilai RM31.01 juta berbanding 344.77 juta unit bernilai RM48.86 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 474.13 juta saham bernilai RM166.28 juta daripada 560.47 juta saham bernilai RM159.50 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 372.62 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (335.50 juta); pembinaan (167.08 juta); teknologi (167.54 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (47.81 juta); hartanah (320.68 juta); perladangan (33.87 juta); REIT (8.0 juta), dana tertutup (4,900); tenaga (137.0 juta); penjagaan kesihatan (70.72 juta); telekomunikasi dan media (32.52 juta); pengangkutan dan logistik (61.03 juta); dan utiliti (92.84 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X