KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah sedikit hari ini berikutan pengambilan untung berterusan dalam kaunter perkhidmatan kewangan terpilih serta produk dan perkhidmatan perindustrian, sejajar dengan sentimen lemah di bursa serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.89 mata kepada 1,446.09 daripada 1,447.98 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks barometer itu dibuka 1.25 mata lebih tinggi pada 1,449.23, paras tertinggi intra harinya, dan mencecah paras rendah 1,442.26 pada sesi tengah hari.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 552 kepada 380 manakala 435 kaunter tidak berubah, 981 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 3.19 bilion unit bernilai RM2.12 bilion daripada 4.34 bilion unit bernilai RM2.56 bilion pada Khamis.
CIMB dan Press Metal merupakan dua penyumbang utama kepada kerugian indeks penanda aras tempatan, susut 9.0 sen dan 10.0 sen masing-masing kepada RM5.55 dan RM4.75, dengan sumbangan gabungan 2.93 mata.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup rendah sedikit seiring dengan penjualan serantau.
"Di peringkat serantau, indeks utama menunjukkan arah aliran rendah berikutan petunjuk negatif daripada Wall Street semalaman berikutan pelabur bimbang tentang kenaikan kadar Amerika Syarikat dan bimbang kemungkinan berlakunya krisis hartanah di China.
"Di peringkat domestik, sentimen mungkin kekal berhati-hati memandangkan risiko pasaran yang semakin meningkat dan ketidaktentuan dalam pasaran global," katanya.
Antara saham wajaran tinggi lain, Maybank naik 3.0 sen kepada RM9.00, Petronas Chemicals menokok 1.0 sen kepada RM6.80, IHH Healthcare meningkat 5.0 sen kepada RM6.00, manakala Public Bank susut 3.0 sen kepada RM4.13, dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM9.95.
Kaunter aktif pula antaranya Hong Seng dan Aimflex susut setengah sen masing-masing kepada 6.0 sen dan 21.5 sen, UEM Sunrise turun 1.0 sen kepada 62 sen, Parkson Holdings naik 7.5 sen kepada 29.5 sen, manakala KNM naik 2.5 sen kepada 9.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 18.01 mata kepada 10,661.56, Indeks FBMT 100 merosot 17.13 mata kepada 10,347.53, Indeks FBM Emas Syariah susut 3.91 mata kepada 10,873.56, Indeks FBM 70 merosot 38.73 mata kepada 14,099.52, dan Indeks FBM ACE turun 49.40 mata kepada 5,264.14.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 39.36 mata kepada 16,254.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.40 mata kepada 167.27, manakala Indeks Perladangan meningkat 74.94 mata kepada 6,985.80 dan Indeks Tenaga naik 0.39 mata satu kepada 815.26.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.30 bilion unit bernilai RM1.88 bilion daripada 3.18 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran susut kepada 359.69 juta unit bernilai RM48.86 juta berbanding 398.44 juta unit bernilai RM60.76 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 524.22 juta saham bernilai RM182.18 juta berbanding 753.73 juta saham bernilai RM227.91 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 475.66 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (408.89 juta); pembinaan (187.20 juta); teknologi (336.03 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (89.67 juta); hartanah (394.36 juta); perladangan (56.34 juta); REIT (14.28 juta), dana tertutup (204,000); tenaga (186.66 juta); penjagaan kesihatan (33.02 juta); telekomunikasi dan media (21.99 juta); pengangkutan dan logistik (43.55 juta); dan utiliti (53.51 juta). – Bernama