KUALA LUMPUR: Indeks utama di Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra harinya susulan sokongan belian asing terutamanya dalam kaunter wajaran tinggi, meskipun persekitaran luar yang suram.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.03 mata kepada 1,462.03 daripada paras penutup 1,451.00 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 0.70 mata kepada 1,450.3 dan mencecah paras rendah 1,446.71 pada sesi pagi.
Bagaimanapun, momentum rendah itu bertukar semasa sesi selepas tengah hari dan pasaran terus mencatatkan aliran meningkat selepasnya.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 430 berbanding 417, manakala 449 kaunter tidak berubah, 994 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 3.17 bilion unit bernilai RM2.19 bilion daripada 3.17 bilion unit bernilai RM1.71 bilion pada Selasa, mencerminkan peningkatan kukuh saham wajaran tinggi dalam dagangan hari ini.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks utama serantau ditutup bercampur-campur hari ini berikutan kebimbangan pelabur terhadap keadaan sistem perbankan Amerika Syarikat (AS), yang mencetuskan penurunan di Wall Street selepas penurunan penarafan kredit oleh Moody's ke atas pelbagai bank serantau.
Moody's mengetengahkan kebimbangan mengenai risiko deposit, kemungkinan kegawatan ekonomi dan cabaran yang dihadapi portfolio hartanah komersial.
Sementara itu, indeks harga pengguna China turun buat kali pertama bagi tempoh dua tahun, mencatatkan penurunan 0.3 peratus tahun ke tahun pada Julai tetapi meningkat 0.2 peratus bagi asas bulanan.
"FBM KLCI terus mencatatkan aliran meningkat susulan sokongan berterusan daripada belian asing.
"Meskipun sentimen pasaran yang berhati-hati di seluruh dunia, kami menjangkakan belian ekuiti tempatan akan berterusan berikutan penilaian murah saham tempatan dan sokongan berterusan daripada dan asing," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, Rakuten Trade menjangkakan indeks utama diniagakan tinggi sedikit dalam jajaran 1,455 dan 1,470 bagi tempoh berbaki minggu ini.
"Selepas melepasi paras rintangan pada 1,460, kami menjangkakan paras rintangan seterusnya berada pada 1,490, dengan paras sokongan pada 1,440," katanya.
Semua saham berkaitan indeks perbankan di Bursa mencatatkan prestasi kukuh, dengan Hong Leong Bank naik 40 sen kepada RM20.10, Public Bank, Maybank dan RHB Bank meningkat tiga sen setiap satu masing-masing kepada RM4.17, RM9.00 dan RM5.71, CIMB menokok lima sen kepada RM5.65 manakala Hong Leong Financial melonjak 12 sen kepada RM18.78.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CelcomDigi naik 15 sen atau 3.5 peratus kepada RM4.44, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM9.64, Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM6.85 dan IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM5.94.
Dalam kalangan kaunter cergas, Classita turun 1.5 sen kepada 10 sen, Handal Energy naik dua sen kepada 26.5 sen, Sapura Energy tidak berubah pada 5.5 sen, Top Glove berkurangan setengah sen kepada 88 sen, manakala UEM Sunrise meningkat setengah sen kepada 52.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 64.59 mata kepada 10,719.7, Indeks FBMT 100 naik 67.8 mata kepada 10,415.66, Indeks FBM Emas Syariah menambah 60.63 mata kepada 10,943.79, Indeks FBM ACE melonjak 22.08 mata kepada 5,315.76 dan Indeks FBM 70 meningkat 45.49 mata kepada 13,998.26.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 110.8 mata kepada 16,357.19, Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian naik 0.39 mata kepada 167.09, Indeks Perladangan menambah 26.52 mata kepada 7,169.84, manakala Indeks Tenaga berkurangan 4.12 mata kepada 825.69.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.34 bilion unit bernilai RM1.94 bilion, daripada 3.17 bilion unit bernilai RM1.71 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 323.38 juta unit bernilai RM48.07 juta berbanding 430.44 juta unit bernilai RM68.45 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menguncup kepada 500.74 juta saham bernilai RM198.31 juta berbanding 602.48 juta saham bernilai RM199.96 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 710.33 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (309.08 juta); pembinaan (83.37 juta); teknologi (116.57 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (92.39 juta); hartanah (265.91 juta); perladangan (32.28 juta); REITs (11.86 juta), dana tertutup (9,300); tenaga (443.53 juta); penjagaan kesihatan (140.99 juta); telekomunikasi dan media (31.77 juta); pengangkutan dan logistik (25.25 juta); dan utiliti (71.71 juta).
–BERNAMA