Rabu, 5 Julai 2023 | 6:53pm
FBM KLCI ditutup rendah sedikit selepas sesi dagangan yang tidak menentu - Foto hiasan
FBM KLCI ditutup rendah sedikit selepas sesi dagangan yang tidak menentu - Foto hiasan

Bursa Malaysia jatuh dua hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras rendah pada Rabu, berikutan jualan besar-besaran saham wajaran tinggi terpilih, terutamanya kaunter produk dan perkhidmatan pengguna, menandakan penurunan hari kedua berturut-turut, sejajar dengan sentimen negatif bursa serantau.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.59 mata, atau 0.19 peratus, kepada 1,389.90 daripada 1,392.49 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama dibuka rendah 0.11 mata kepada 1,392.38 pagi ini dan bergerak pada paras tertinggi 1,395.82 pada sesi awal pagi.

Bagaimanapun, suasana pasaran adalah positif berikutan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 438 kepada 378, manakala 440 kaunter tidak berubah, 979 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.54 bilion unit bernilai RM1.52 bilion berbanding 2.60 bilion unit bernilai RM1.57 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup rendah sedikit selepas sesi dagangan yang tidak menentu.

Beliau berkata, indeks serantau utama berakhir dalam wilayah negatif terutamanya disebabkan dagangan berhati-hati apabila indeks pengurus pembelian perkhidmatan Caixin China merosot kepada 53.9 daripada 57.1 pada Mei, di bawah unjuran median 56.2 dalam kalangan ahli ekonomi yang dikaji oleh Bloomberg.

Pak Leng berkata, aktiviti kilang Jepun menguncup pada bulan Jun disebabkan oleh pesanan yang lemah untuk barangan kitaran di tengah-tengah kelembapan ekonomi global.

"Di peringkat tempatan, indeks penanda aras tersekat dalam mod penyatuan disebabkan dagangan berhati-hati di seluruh rantau; oleh itu kami menasihatkan para pelabur untuk memberi tumpuan kepada saham bermodal besar seperti bank, perladangan dan syarikat telekomunikasi; dan saham yang dipacu dalam negeri termasuk pembinaan dan amanah pelaburan hartanah runcit (REIT) untuk strategi pertahanan yang lebih baik.

"Kami menganggap prestasi FBM KLCI kekal stabil disokong oleh asas ekonomi tempatan yang bertambah baik walaupun rintangan kekal kukuh sedikit di bawah paras 1,400," katanya.

Walaupun begitu, Pak Leng mengekalkan sasaran FBM KLCI untuk minggu ini pada 1,390 hingga 1,405, dengan rintangan serta-merta pada 1,400 dan sokongan pada 1,373.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank susut satu sen kepada RM3.90, CIMB jatuh dua sen kepada RM5.18, Tenaga Nasional turun lima sen kepada RM9.08, manakala Maybank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM8.70 dan RM5.83.

Daripada saham aktif, BTM Resources dan Sarawak Consolidated masing-masing naik setengah sen kepada 9.5 sen dan 47.5 sen, Parkson meningkat 2.5 sen kepada 21.5 sen, Widad turun setengah sen kepada 41.5 sen, TWL Holdings tidak berubah pada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 7.30 mata kepada 10,251.52, Indeks FBMT 100 susut 10.41 mata kepada 9,945.39, Indeks FBM Emas Syariah naik 0.95 mata kepada 10,531.33, Indeks FBM ACE menokok 70.50 mata kepada 5,165.37 mata dan Indeks FBM 70 meningkat 20.37 mata kepada 13,551.47.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 18.64 mata kepada 15,464.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mencatatkan naik 0.17 mata kepada 158.97, Indeks Tenaga meningkat 5.76 mata kepada 798.17 dan Indeks Perladangan naik 86.43 mata kepada 6,916.17.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.79 bilion unit bernilai RM1.28 bilion daripada 1.90 bilion unit bernilai RM1.33 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 258.97 juta unit bernilai RM43.42 juta berbanding 269.65 juta unit bernilai RM43.63 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 439.84 juta saham bernilai RM203.20 juta daripada 429.28 juta saham bernilai RM193.23 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 429.01 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (457.93 juta); pembinaan (153.48 juta); teknologi (120.88 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (80.60 juta); hartanah (238.20 juta); perladangan (33.99 juta); REIT (6.82 juta), dana tertutup (29,500); tenaga (138.09 juta); penjagaan kesihatan (42.00 juta); telekomunikasi dan media (38.23 juta); pengangkutan dan logistik (25.10 juta); dan utiliti (29.58 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X