KUALA LUMPUR: Aktiviti belian saat-saat akhir mendorong Bursa Malaysia mengakhiri dagangan di paras tinggi harian pada Jumaat, seiring prestasi bursa serantau yang memberangsangkan ketika sentimen bertukar positif dan memacu minat pelabur.
Pada 5 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 6.88 mata atau 0.50 peratus untuk ditutup pada 1,388.61 daripada 1,381.73 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 0.69 mata kepada 1,382.42 pagi ini dan kemudiannya mencecah paras terendah 1,373.15.
Namun, sentimen pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 451 berbanding 397 manakala 462 kaunter tidak berubah, 974 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.54 bilion unit bernilai RM3.25 bilion berbanding 3.48 bilion unit bernilai RM1.80 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks serantau utama kebanyakannya meningkat berikutan petunjuk positif Wall Street semalaman, kecuali Bursa Saham Indonesia yang susut 0.23 peratus kepada 6,698.55.
"Selain itu, sentimen pelabur juga meningkat susulan jangkaan bahawa bank pusat Amerika Syarikat (AS) iaitu Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengakhiri kempen kenaikan kadar faedahnya," katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank naik dua sen kepada RM3.87; Tenaga Nasional meraih sembilan sen kepada RM9.20; IHH Healthcare menokok 16 sen kepada RM5.96 manakala Maybank turun tiga sen kepada RM8.57 dan CIMB berkurangan dua sen kepada RM4.98.
Bagi saham aktif, YTL Corporation untung lima sen kepada 97.5 sen; TWL tidak berubah pada tiga sen; Top Glove turun 11.5 sen kepada 97.5 sen; Classita merosot setengah sen kepada 9.5 sen dan Sarawak Consolidated susut 1.5 sen kepada 40.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 34.90 mata kepada 10,247.62; Indeks FBMT 100 menambah 37.94 mata kepada 9,944.36; Indeks FBM Emas Shariah meraih 47.25 mata kepada 10,611.78; Indeks FBM ACE naik 20.95 mata kepada 5,125.76 dan Indeks FBM 70 mengukuh 5.24 mata kepada 13,584.71.
Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 1.90 mata kepada 160.79; Indeks Perladangan sebaliknya susut 52.13 mata kepada 6,648.54; Indeks Tenaga menambah 6.67 mata kepada 793.89 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 30.69 mata kepada 15,173.32.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama bertambah kepada 2.56 bilion unit bernilai RM3.01 bilion daripada 2.43 bilion unit bernilai RM1.54 bilion, semalam.
Waran susut kepada 376.42 juta unit bernilai RM57.82 juta daripada 399.46 juta unit bernilai RM72.87 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 604.44 juta saham bernilai RM181.28 juta daripada 642.95 juta saham bernilai RM190.47 juta, semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan menyumbang sebanyak 503.14 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (503.60 juta); pembinaan (62.59 juta); teknologi (216.54 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (148.56 juta); hartanah (395.26 juta); perladangan (61.97 juta); REIT (5.39 juta), dana tertutup (53,000); tenaga (208.29 juta); penjagaan kesihatan (268.97 juta); telekomunikasi dan media (48.79 juta); pengangkutan dan logistik (45.32 juta) serta utiliti (86.90 juta). -BERNAMA