Rabu, 14 Jun 2023 | 7:14pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 444 berbanding 343 - Foto AFP
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 444 berbanding 343 - Foto AFP

Bursa Malaysia tinggi menjelang pengumuman kadar faedah AS

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada hari Rabu dalam persekitaran prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur menjelang keputusan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) malam ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.81 mata atau 0.35 peratus kepada 1,385.42 daripada paras penutup 1,3809.61 pada Selasa.

Indeks utama dibuka tinggi naik 1.09 mata kepada 1,381.70 pagi ini dan bergerak antara paras 1,381.49 dan 1,386.79 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 444 berbanding 343, manakala 515 kaunter tidak berubah, 953 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.86 bilion unit bernilai RM1.75 bilion berbanding 3.08 bilion unit bernilai RM1.97 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pelabur menumpukan perhatian kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, di mana mereka menjangkakan kenaikan kadar faedah berhenti selepas beberapa kenaikan sebelum ini.

"Selain itu, sentimen pasaran dirangsang oleh ketegangan yang semakin reda antara AS dan China serta dasar kewangan yang menyokong dari bank pusat di China dan Jepun.

"Kami mengekalkan pandangan optimistik kami dengan berhati-hati atas sebab-sebab yang dinyatakan. Kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam aliran dalam julat 1,380 hingga 1,395 untuk baki minggu ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter cergas, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing turun dua sen kepada RM8.60 and RM6.40, Public Bank melonjak satu sen kepada RM3.82, Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM9.20, manakala CIMB tidak berubah pada RM4.99.

Bagi kalangan kaunter cergas yang lain, Sarawak Consolidated menokok 1.5 sen kepada 38.5 sen, MyEG bertambah dua sen kepada 86 sen, Bahvest Resources melonjak 2.5 sen kepada 26.5 sen, manakala XOX dan Classita tidak berubah masing-masing pada 1.5 sen dan 10.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 47.25 mata kepada 10,244.25, Indeks FBMT 100 mengukuh 46.39 mata kepada 9,939.16 dan Indeks FBM Emas Shariah pada 79.66 mata kepada 10,617.27.

Indeks FBM ACE menokok 52.47 mata kepada 5,199.00 dan Indeks FBM 70 meningkat 112.63 mata kepada 13,650.30.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.32 mata kepada 160.07, Indeks Perladangan susut 11.13 mata kepada 6,707.11, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 15.25 mata kepada 15,184.14, manakala Indeks Tenaga naik 6.77 mata kepada 787.43.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.83 bilion unit bernilai RM1.51 bilion daripada 1.95 bilion unit bernilai RM1.68 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran menguncup kepada 279.54 juta unit bernilai RM44.73 juta berbanding 377.22 juta unit bernilai RM56.52 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 746.61 juta saham bernilai RM201.37 juta daripada 750.12 juta saham bernilai RM227.64 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 313.19 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (627.58 juta); pembinaan (68.83 juta); teknologi (283.48 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (60.68 juta); hartanah (163.60 juta); perladangan (33.01 juta); REITs (7.13 juta), dana tertutup (128,000); tenaga (84.24 juta); penjagaan kesihatan (38.63 juta); telekomunikasi dan media (39.87 juta); pengangkutan dan logistik (69.80 juta); dan utiliti (43.33 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X