KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini bagi hari kedua berturut-turut susulan tekanan jualan yang berterusan terutamanya dalam saham berkaitan telekomunikasi dan komoditi di tengah-tengah prestasi bercampur-campur pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.01 mata atau 0.29 peratus kepada 1,374.64 daripada paras penutup 1,378.65 pada Rabu.
Indeks utama itu dibuka rendah turun 2.86 mata kepada 1,375.79 pagi ini dan bergerak antara paras 1,369.41 dan 1,376.62 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 487 berbanding 300, manakala 433 kaunter tidak berubah, 1,023 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.68 bilion unit bernilai RM1.61 bilion berbanding 3.12 bilion unit bernilai RM1.73 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata prestasi bursa tempatan itu sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya rendah susulan petunjuk negatif daripada Wall Street semalaman.
Beliau berkata, pelabur bimbang kemungkinan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan terus kekal tinggi bagi tempoh yang lebih lama dan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka terus mengekalkannya pada mesyuaratnya minggu depan.
"Bagi bursa tempatan, kami percaya sentimen jangka pendek akan terus tidak menentu, dipengaruhi oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran.
"Bagaimanapun, terdapat kemungkinan akan muncul aktiviti pembelian saham berharga rendah apabila indeks petunjuk pasaran kekal berada dalam situasi terlebih jual," katanya kepada Bernama.
Pak Leng menjangkakan FBM KLCI diniagakan tidak banyak berubah dalam jajaran 1,373 hingga 1,385 menuju ke hujung minggu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.60, Petronas Chemicals meningkat satu sen kepada RM6.42, Tenaga Nasional jatuh 15 sen kepada RM9.12 manakala Public Bank dan CIMB tidak berubah masing-masing kepada RM3.81 dan RM4.90.
Dalam kalangan kaunter cergas, Sarawak Consolidated naik setengah sen kepada 28 sen manakala Dagang NeXchange dan RGB International meningkat satu sen masing-masing kepada 49 sen dan 27 sen.
Star Media jatuh tiga sen kepada 47 sen dan Widad Group tidak berubah pada 42.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 37.69 mata kepada 10,124.28, Indeks FBMT 100 susut 35.78 mata kepada 9,826.45 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 79.50 mata kepada 10,450.23.
Indeks FBM ACE jatuh 54.56 mata kepada 4,971.14, Indeks FBM 70 susut 78.00 mata kepada 13,349.77.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.21 mata kepada 157.68, Indeks Perladangan turun 17.04 mata kepada 6,645.00 dan Indeks Tenaga susut 4.41 mata kepada 778.81.
Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.71 mata kepada 15,119.53.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.74 bilion unit bernilai RM1.37 bilion daripada dua bilion unit bernilai RM1.43 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran jatuh kepada 294.33 juta unit bernilai RM43.74 juta daripada 372.23 juta unit bernilai RM49.66 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 646.14 juta saham bernilai RM202.85 juta daripada 744.47 juta bernilai RM248.68 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 327.41 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (505.92 juta); pembinaan (64.61 juta); teknologi (194.17 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (54.92 juta); hartanah (182.54 juta); perladangan (25.09 juta); REITs (6.48 juta), dana tertutup (6,000); tenaga (144.57 juta); penjagaan kesihatan (64.34 juta); telekomunikasi dan media (86.83 juta); pengangkutan dan logistik (22.08 juta); dan utiliti (60.48 juta).
-BERNAMA