Jumaat, 26 Mei 2023 | 8:53pm
Indeks berlegar antara 1,397.98 dan 1,405.45 sepanjang hari - Foto hiasan
Indeks berlegar antara 1,397.98 dan 1,405.45 sepanjang hari - Foto hiasan

Bursa Malaysia berjaya pulih di saat akhir

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia pulih daripada penurunan awal untuk ditutup lebih tinggi sedikit hari ini, didorong oleh pembelian saat akhir dalam kaunter utiliti dan teknologi, sejajar dengan prestasi positif di kebanyakan bursa serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.50 mata untuk ditutup pada 1,402.98 berbanding dengan 1,402.48 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks barometer dibuka pada paras 1,402.93 pagi ini, 0.45 mata lebih kukuh dan berlegar antara 1,397.98 dan 1,405.45 sepanjang hari.

Walau bagaimanapun, pasaran secara keseluruhan kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung, 433 berbanding 403, manakala 398 kaunter tidak berubah, 1,042 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.44 bilion unit bernilai RM2.28 bilion daripada 2.36 bilion unit bernilai RM1.63 bilion pada Khamis.

Inari Amertron dan Tenaga Nasional adalah dua penyumbang utama kepada keuntungan dalam indeks penanda aras, meningkat 21.0 sen dan 11.0 sen masing-masing kepada RM2.47 dan RM9.69, dengan gabungan 2.33 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup mendatar selepas sesi yang tidak menentu, tetapi indeks penanda aras berakhir di wilayah positif dengan pembelian saham wajaran tinggi terpilih.

"Indeks serantau utama kebanyakannya lebih tinggi kerana pelabur menjangkakan kemungkinan Kongres Amerika Syarikat (AS) mencapai persetujuan berhubung hutang kerajaan AS," katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi lain, Maybank meningkat 2.0 sen kepada RM8.58, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM3.90, Petronas Chemicals turun 2.0 sen kepada RM6.95, CIMB Group susut 6.0 sen kepada RM4.90, manakala CelcomDigi tidak berubah pada RM4.46.

Bagi kaunter aktif, YTL Corporation naik 5.5 sen kepada 83.5 sen, Bahvest Resources menokok 4.0 sen kepada 22.5 sen, Tanco susut 5.5 sen kepada 48.5 sen, SMRT Holdings naik 5.0 sen kepada 70.5 sen, manakala Kumpulan Hasil tidak berubah pada 26.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 12.03 mata kepada 10,296.44, Indeks FBMT 100 naik 12.67 mata kepada 10,002.63, Indeks FBM Emas Syariah naik 24.93 mata kepada 10,669.03, Indeks FBM 70 menokok 54.98 mata kepada 13,480.00, dan Indeks FBM ACE naik 36.71 mata kepada 4,980.90.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.06 mata kepada 164.08, Indeks Perladangan susut 50.49 mata kepada 6,755.26, Indeks Tenaga turun 10.45 mata kepada 808.31, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 14.00 mata kepada 15,304.43.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.70 bilion unit bernilai RM2.05 bilion daripada 1.47 bilion unit bernilai RM1.40 bilion pada Khamis.

Bagaimanapun jumlah dagangan waran menyusut 210.10 juta unit bernilai RM23.01 juta berbanding 332.16 juta unit bernilai RM46.03 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 535.86 juta saham bernilai RM206.90 juta daripada 553.75 juta saham bernilai RM178.96 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 312.51 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (269.09 juta); pembinaan (45.93 juta); teknologi (255.05 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (74.31 juta); harta (207.27 juta); ladang (22.90 juta); REIT (14.41 juta), dana tertutup (6,000); tenaga (115.46 juta); penjagaan kesihatan (96.23 juta); telekomunikasi dan media (37.90 juta); pengangkutan dan logistik (72.98 juta); dan utiliti (170.99 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X