KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu, walaupun kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian terpilih mencatatkan kenaikan pada minit-minit terakhir, begitu juga kaunter telekomunikasi dan media.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.92 mata untuk ditutup pada 1,409.62 daripada 1,411.54 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks utama itu dibuka 0.18 mata lebih rendah kepada 1,411.36 sebelum bergerak di antara 1,414.66 dengan 1,406.27 sepanjang dagangan hari ini.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 542 berbanding 311, manakala 395 kaunter tidak berubah, 1,010 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.55 bilion unit bernilai RM1.70 bilion daripada 2.46 bilion unit bernilai RM1.66 bilion pada Selasa.
Petronas Chemicals dan Telekom Malaysia adalah dua penyumbang teratas kepada indeks penanda aras tempatan apabila masing-masing meningkat 6.0 sen dan 10.0 sen kepada RM6.95 dan RM5.09 untuk mencatatkan gabungan 1.47 mata.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata di peringkat serantau, indeks-indeks utama ditutup rendah berikutan petunjuk negatif dalam tempoh semalaman daripada Wall Street memandangkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mula menghampiri kemungkiran hutang yang berpotensi mengganggu.
"Sementara itu, kebimbangan mengenai ketegangan China-AS yang semain buruk turut melemahkan sentimen terhadap rantau itu.
"Selain itu, China baru-baru ini telah mengharamkan penggunaan cip Micron Technology yang berpangkalan di AS, menyebabkan beberapa penjualan dalam sektor teknologi AS," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, bagi bursa tempatan, sentimen pelabur dijangka kekal berhati-hati untuk jangka masa pendek ekoran peningkatan ketidaktentuan pasaran serantau akibat keadaan itu.
"Sebaliknya, prestasi kewangan korporat yang kukuh terutama dalam kalangan saham mewah, dijangka meningkatkan sentimen pelabur dengan ketara.
"Selain itu, indeks penanda aras kekal dalam kedudukan terlebih jual; oleh itu kami menjangkakan aktiviti pembelian semasa harga murah muncul khususnya dalam saham bank serta syarikat telekomunikasi," katanya.
Pak Leng berkata, FBM KLCI diunjurkan berada dalam aliran lebih tinggi iaitu pada julat 1,410 hingga 1,425 untuk baki minggu ini.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing susut 5.0 sen kepada RM8.56 dan RM5.85; Tenaga Nasional turun 4.0 sen kepada RM9.52; CIMB Group berkurangan 3.0 sen kepada RM4.98 namun Public Bank untung 1.0 sen kepada RM3.92.
Bagi saham aktif, Bahvest Resources untung 3.0 sen kepada 19.0 sen; Tanco menokok setengah sen kepada 55.0 sen; BSL Corporation meraih 1.0 sen kepada 4.0 sen; Jade Marvel turun 1.5 sen kepada 22.0 sen dan Sapura Energy tidak berubah pada 3.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 30.17 mata kepada 10,340.48; Indeks FBMT 100 turun 26.80 mata kepada 10,043.69l; Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 25.42 mata kepada 10,716.79, Indeks FBM 70 menguncup 90.55 mata kepada 13,509.26 dan Indeks FBM ACE naik 30.01 mata kepada 4,947.80.
Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.13 mata kepada 164.00; Indeks Perladangan susut 38.48 mata kepada 6,936.67; Indeks Tenaga turun 6.71 mata kepada 830.14 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 60.88 mata kepada 15,349.33.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.71 bilion unit bernilai RM1.50 bilion daripada 1.59 bilion unit bernilai RM1.45 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 293.91 juta unit bernilai RM41.75 juta daripada 378.99 juta unit bernilai RM52.05 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 540.12 juta saham bernilai RM156.51 juta daripada 490.11 juta saham bernilai RM151.28 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 267.73 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (408.18 juta); pembinaan (63.43 juta); teknologi (155.79 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (55.12 juta); hartanah (176.12 juta); perladangan (38.84 juta); REIT (7.71 juta), dana tertutup (36,000); tenaga (315.39 juta); penjagaan kesihatan (85.10 juta); telekomunikasi dan media (47.92 juta); pengangkutan dan logistik (26.07 juta); serta utiliti (59.44 juta).
-BERNAMA