Jumaat, 19 Mei 2023 | 6:27pm
Pelabur akan terus bersikap berhati-hati terhadap ketidaktentuan pasaran yang terus ketara -Foto hiasan
Pelabur akan terus bersikap berhati-hati terhadap ketidaktentuan pasaran yang terus ketara -Foto hiasan

Belian saat akhir 'selamatkan' Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat sedikit ketika mengakhiri dagangan pada Jumaat apabila indeks penanda aras bertukar positif susulan aktiviti pembelian saat-saat akhir dalam sentimen pasaran yang terus bercampur-campur.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.5 mata untuk ditutup pada paras tertinggi 1,428.54 berbanding 1,428.04 pada akhir dagangan semalam.

Indeks utama yang dibuka susut 2.59 mata pada 1,425.45 pagi ini, turun ke paras serendah 1,423.65 pada dagangan awal.

Namun, pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 457 berbanding 360 manakala 432 kaunter tidak berubah, 998 tidak diniagakan manakala 14 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.85 bilion unit daripada 2.65 bilion unit bernilai RM1.82 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI mengatasi kerugian sebelum ini dan ditutup tinggi, didorong oleh aktiviti memburu saham berharga rendah pada saat-saat akhir dagangan.

Beliau juga menjangkakan aliran kenaikan pasaran tempatan akan berterusan berikutan pemulihan sentimen di tengah-tengah penilaian bahawa ekuiti Malaysia masih murah berbanding saham serantau, sekali gus menyuntik potensi lebih positif bagi pelabur asing.

"Namun, pelabur akan terus bersikap berhati-hati terhadap ketidaktentuan pasaran yang terus ketara.

"Malah, kami juga percaya segelintir pelabur akan mengalihkan tumpuan terhadap pelaporan korporat mulai minggu depan," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Pak Leng berkata indeks utama kebanyakannya ditutup lebih tinggi berikutan petunjuk positif semalaman Wall Street dalam sentimen keyakinan bahawa kalangan penggubal dasar Amerika Syarikat (AS) hampir mencapai persetujuan untuk menaikkan had siling hutang dan mengelakkan berlakunya kemungkiran atau kegagalan melunas hutang.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung dua sen kepada RM8.78, Public Bank dan CIMB masing-masing meraih satu sen kepada RM3.98 dan RM5.02; Tenaga Nasional menokok tiga sen kepada RM9.82 manakala Petronas Chemicals susut 1.5 sen kepada RM6.86.

DXN Holdings yang melakukan kemunculan pertama di Pasaran Utama menjadi saham diniagakan paling aktif, namun susut 3.5 sen kepada 66.5 sen daripada harga tawaran awam permulaannya sebanyak 70 sen.

Bagi saham aktif lain, Metronic tidak berubah pada 1.5 sen; YTL Corporation untung 3.5 sen kepada 77.5 sen; Bahvest menokok dua sen kepada 14 sen manakala Top Glove menambah tiga sen kepada RM1.20.

Selain itu, jualan singkat saham Berjaya Food digantung sepanjang hari selepas harga terakhirnya merosot melebihi 15 sen atau 15 peratus daripada harga rujukan.

Dalam kenyataannya hari ini, Bursa Malaysia Securities berkata jualan singkat saham di bawah dagangan harian proprietari (PDT) dan jualan singkat intra hari (IDSS) hanya akan diaktifkan semula pada 8.30 pagi Isnin 22 Mei, 2023.

Berjaya Food kali terakhir diniagakan pada 65 sen, turun 17.5 sen atau 21.21 peratus dengan 85.1 juta saham saling berpindah tangan.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 7.02 mata kepada 10,474.75; Indeks FBMT 100 berkurangan 4.52 mata kepada 10,170.36; Indeks FBM Emas Shariah menguncup 23.99 mata kepada 10,829.51 manakala Indeks FBM 70 berkurangan 39.78 mata kepada 13,645.75.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE naik 13.78 mata kepada 5,002.9.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.01 mata kepada 164.99; Indeks Perladangan susut 32.45 mata kepada 7,026.55 manakala Indeks Tenaga berkurangan 5.51 mata kepada 839.53.

Indeks Perkhidmatan Kewangan bagaimanapun meningkat 37.29 mata kepada 15,606.23.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.83 bilion unit bernilai RM1.6 bilion daripada 1.74 bilion unit bernilai RM1.61 bilion.

Selain itu, jumlah waran berkurangan kepada 368.4 juta unit bernilai RM50.59 juta daripada 382.56 juta unit bernilai RM55.23 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 641.33 juta saham bernilai RM152.51 juta berbanding 526.20 juta saham bernilai RM152.09 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 545.11 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (392.4 juta); pembinaan (92.09 juta); teknologi (116.25 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (39.29 juta); hartanah (186.6 juta); perladangan (27.47 juta); REIT (7.25 juta), dana tertutup (14,000); tenaga (107.89 juta); penjagaan kesihatan (164.97 juta); telekomunikasi dan media (28.99 juta); pengangkutan dan logistik (18.27 juta) serta utiliti (108.14 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X