KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatat pemulihan sederhana pada Rabu susulan tindakan pelabur mengambil keuntungan, namun sokongan belian berterusan terhadap saham wajaran tinggi terpilih terbukti memacu indeks utama mengakhiri dagangan dalam zon positif.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.84 mata kepada 1,424.34 daripada 1,423.50 pada akhir dagangan semalam.
Indeks pemacu pasaran yang dibuka susut 1.49 mata pada 1,422.01 pagi ini, bergerak dalam jajaran 1,421.34 hingga 1,427.40 sepanjang hari ini.
FBM KLCI turut mendapat sokongan daripada keuntungan Sime Darby Plantations dan Petronas Dagangan yang menyumbang gabungan sebanyak 3.178 mata kepada indeks berkenaan.
Sime Darby Plantations menokok 17 sen atau 3.86 peratus kepada RM4.58 manakala Petronas Dagangan melonjak 76 sen atau 3.48 peratus kepada RM22.60.
Namun, pasaran secara meluas menyaksikan jurang kecil antara kaunter rugi dan untung iaitu 427 berbanding 412, manakala 403 kaunter tidak berubah; 1,014 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.59 bilion unit bernilai RM1.63 bilion daripada 2.57 bilion unit bernilai RM1.51 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI beralih daripada kenaikan awal dan ditutup mendatar susulan aktiviti pengambilan untung pada akhir sesi dagangan dan berupaya kekal dalam wilayah positif sehingga dagangan ditutup.
"Kami menjangkakan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah akan berterusan memandangkan tarikan nilai indeks itu serta saham-saham tempatan lainnya.
"Pelabur dijangka kekal berhati-hati berikutan peningkatan risiko pasaran selain ketidaktentuan di peringkat global," katanya.
Beliau menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam jajaran 1,420 hingga 1,430 bagi tempoh berbaki minggu ini dengan rintangan segera pada 1,440 manakala sokongan di paras 1,415.
Mengulas prestasi serantau, Thong berkata pasaran saham utama mencatat aliran kebanyakannya rendah berikutan pendirian pelabur yang bimbangkan perkembangan mengenai kemungkinan berlakunya isu kemungkiran hutang di Amerika Syarikat (AS).
Rundingan dalam kalangan penggubal dasar masih dijalankan dalam usaha menaikkan paras siling hutang sebelum tarikh akhir pada 1 Jun ini.
Keadaan diburukkan lagi dengan sentimen terhadap aset berisiko yang dijejaskan oleh kenyataan menyokong kenaikan kadar faedah oleh beberapa pegawai Rizab Persekutuan AS, sekali gus membayangkan kadar terbabit kekal tinggi untuk tempoh lebih panjang, katanya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata pasaran tempatan mengambil petunjuk daripada perkembangan berkaitan usaha menaikkan had siling hutang di negara maju berkenaan.
Menurutnya, sebarang keuntungan bergantung kepada aktiviti jualan berterusan dana asing manakala ringgit terus susut berbanding dolar AS.
"Dari sudut teknikal, kami mengekalkan pandangan bahawa rintangan segera pada 1,437 manakala sokongan pada 1,413," katanya.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank naik satu sen kepada RM3.96; Tenaga Nasional untung dua sen kepada RM9.75; Maybank dan IHH Healthcare sebaliknya susut dua sen kepada RM8.71 dan RM5.90; Petronas Chemicals rugi sembilan sen kepada RM6.98 manakala CIMB berkurangan satu sen one sen kepada RM4.98.
Bagi saham aktif, YTL Corporation naik 8.5 sen kepada 75 sen; Vinvest dan Metronic turun setengah sen masing-masing kepada lapan sen dan 1.5 sen manakala Velesto dan Classita tidak berubah pada 25 sen dan 15 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 22.06 mata kepada 10,441.44; Indeks FBMT 100 naik 21.03 mata kepada 10,136.52; Indeks FBM Emas Shariah menambah 32.28 mata kepada 10,811.66 dan Indeks FBM 70 melonjak 90.67 mata kepada 13,584.02.
Indeks FBM ACE bagaimanapun turun 3.79 mata kepada 4,996.78.
Bagi sektor, Indeks Perladangan melonjak 114.7 mata kepada 7,048.42; Indeks Tenaga meraih 0.63 mata kepada 834.57 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 25.53 mata kepada 15,505.61 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.32 mata kepada 166.42.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.67 bilion unit bernilai RM1.41 bilion daripada 1.52 bilion unit bernilai RM1.27 bilion pada Selasa.
Selain itu, jumlah waran bertambah kepada 416.95 juta unit bernilai RM64.41 juta daripada 291.71 juta unit bernilai RM48.63 juta, semalam.
Di Pasaran ACE bagaimanapun berkurangan kepada 507.62 juta saham bernilai RM156.89 juta daripada 753.82 juta saham bernilai RM193.39 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 308.48 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (405.73 juta); pembinaan (39.04 juta); teknologi (143.61 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (42.84 juta); hartanah (199.37 juta); perladangan (30.39 juta); REIT (20.24 juta), dana tertutup (5,000); tenaga (150.57 juta); penjagaan kesihatan (104.12 juta); telekomunikasi dan media (33.4 juta); pengangkutan dan logistik (27.47 juta) serta utiliti (164.78 juta). – Bernama