KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan awal dan turun lebih rendah untuk hari keempat berturut-turut berikutan pelabur mengenepikan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama 2023, dengan pertumbuhan 5.6 peratus tahun ke tahun, mengatasi jangkaan konsensus.
Penganalisis kanan Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong, berkata bagaimanapun, prestasi KDNK berada pada kadar yang lebih perlahan berbanding suku keempat 2022, yang mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus tahun ke tahun.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 0.15 peratus, atau 2.26 mata, untuk ditutup pada paras terendah hariannya pada 1,422.92 daripada 1,425.18 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks barometer itu dibuka tinggi sedikit pada 1,426.48 dan mencecah paras tertinggi harian pada 1429.92 pada sesi dagangan pagi.
Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 500 berbanding 346, manakala 417 kaunter tidak berubah, 998 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.74 bilion unit bernilai RM1.77 bilion daripada 3.39 bilion unit bernilai RM1.62 bilion pada Khamis.
Leong menjangkakan pertumbuhan ekonomi pada suku akan datang akan terus menjadi sederhana berikutan penggunaan swasta yang semakin berkurangan di tengah-tengah inflasi yang berterusan dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi mengurangkan kuasa beli.
"Melihat ke hadapan, pelabur mungkin memantau dengan teliti mengenai pendapatan korporat yang akan dikeluarkan oleh Bursa Malaysia," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI adalah rendah sedikit seiring dengan prestasi negatif ekuiti global.
Beliau berkata, indeks serantau utama kebanyakannya lebih rendah di tengah-tengah kebimbangan mengenai masalah kewangan Amerika Syarikat (AS).
Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank susut lima sen kepada RM8.69, Public Bank turun empat sen kepada RM3.97, Petronas Chemicals susut 13 sen kepada RM7.03, manakala CIMB tidak berubah pada RM4.95.
Tenaga Nasional menambah 37 sen kepada RM9.46.
Bagi saham aktif, Vinvest turun 3.5 sen kepada 16 sen, Dagang NeXchange turun 3.0 sen kepada 43 sen, dan kedua-dua Bahvest dan BSL Corp susut setengah sen masing-masing kepada 12.5 sen dan 4.5 sen, manakala Autocount meningkat 1.5 sen kepada 69 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 15.27 mata kepada 10,415.65, Indeks FBMT 100 turun 16.13 mata kepada 10,111.39, Indeks FBM ACE merosot 41.72 mata kepada 4,984.48, manakala Indeks FBM 70 turun susut 21.79 kepada 13,488.16.
Indeks FBM Emas Syariah meningkat sebanyak 7.37 mata kepada 10,775.92.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.35 mata kepada 167.12, Indeks Tenaga merosot 2.42 mata kepada 829.39 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 74.93 mata kepada 15,513.28.
Indeks Perladangan mencatatkan 42.35 mata kepada 6,956.66.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.70 bilion unit bernilai RM1.50 bilion daripada 2.13 bilion unit bernilai RM1.36 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran meningkat sedikit pada 338.39 juta unit bernilai RM54.18 juta berbanding 313.53 juta unit bernilai RM47.96 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 699.03 juta saham bernilai RM215.96 juta berbanding 955.12 juta saham bernilai RM215.66 juta sebelum ini.
Di Pasaran Utama, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 341.54 juta saham yang diniagakan, produk dan perkhidmatan perindustrian (568.56 juta); pembinaan (55.30 juta); teknologi (213.86 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (66.48 juta); hartanah (146.73 juta); perladangan (23.77 juta); REIT (5.06 juta), dana tertutup (60,000); tenaga (96.90 juta); penjagaan kesihatan (83.24 juta); telekomunikasi dan media (40.85 juta); pengangkutan dan logistik (23.95 juta); dan utiliti (38.87 juta).
-BERNAMA