KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup mendatar pada Khamis, dengan sentimen pelabur yang berhati-hati mendorong indeks utama turun bagi hari ketiga berturut-turut berikutan prestasi serantau yang lemah.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.04 peratus atau setengah mata kepada 1,425.18 daripada 1,425.68 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks barometer itu dibuka pada 1,425.58 sebelum bergerak di antara 1,424.82 dengan 1,428.78 mata sepanjang sesi dagangan hari ini.
Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 467 berbanding 310, manakala 465 kaunter tidak berubah, 991 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.39 bilion unit bernilai RM1.62 bilion daripada 2.78 bilion unit bernilai RM1.65 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata bursa serantau ditutup rendah kebanyakannya ekoran kebimbangan terhadap perbankan Amerika Syarikat selain prestasi Wall Street yang bercampur-campur dalam tempoh semalaman.
Beliau berkata FBM KLCI berakhir dalam wilayah negatif disebabkan penjualan pada minit-minit terakhir dagangan.
FBM KLCI sekali lagi terkekang dalam keadaan yang amat tidak banyak berubah susulan kekurangan pemangkin baharu, katanya.
"Walau bagaimanapun, kami berpandangan prospek ekuiti tempatan kekal stabil berikutan penilaian murah semasa manakala asas ekonomi tempatan kekal kukuh.
"Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras meningkat, dalam julat 1,425 hingga 1,435 menjelang hujung minggu. Dari sudut teknikal, kami menetapkan paras rintangan segera untuk FBM KLCI pada 1,440, manakala sokongan pada 1,415," katanya kepada Bernama.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM8.74, Public Bank naik dua sen kepada RM4.01, Petronas Chemicals susut 15 sen kepada RM7.16, CIMB turun tujuh sen kepada RM4.95 dan IHH Healthcare kurang dua sen kepada RM5.88.
Bagi saham aktif, Vinvest dan Eduspec masing-masing susut setengah sen kepada 0.5 sen dan 2.5 sen, Bahvest meningkat 1.5 sen kepada 13 sen dan Seal naik dua sen kepada 43 sen manakala Fitters tidak berubah pada 5.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 14.06 mata kepada 10,430.93; Indeks FBMT 100 turun 14.82 mata kepada 10,127.52 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 28.64 mata kepada 10,768.55.
Indeks FBM ACE susut 15.52 mata kepada 5,026.20 manakala Indeks FBM 70 merosot 66.37 mata kepada 13,509.95.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.08 mata kepada 168.47, Indeks Tenaga kurang 1.50 mata kepada 831.81 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 9.73 mata kepada 15,588.22.
Indeks Perladangan melonjak 75.79 mata kepada 6,914.31.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.13 bilion unit bernilai RM1.36 bilion daripada 1.87 bilion unit bernilai RM1.44 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran sebanyak 313.53 juta unit bernilai RM47.96 juta berbanding dengan 278.69 juta unit bernilai RM40.22 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 955.12 juta saham bernilai RM215.66 juta daripada 638.24 juta saham bernilai RM166.15 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 305.49 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (1.02 bilion); pembinaan (45.83 juta); teknologi (154.08 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (68.78 juta); hartanah (230.54 juta); perladangan (36.14 juta); REIT (7.94 juta), dana tertutup (21,100); tenaga (64.70 juta); penjagaan kesihatan (76.64 juta); telekomunikasi dan media (62.58 juta); pengangkutan dan logistik (20.27 juta); serta utiliti (29.73 juta). - BERNAMA