KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan indeks utama meningkat 0.27 peratus berikutan aktiviti membeli saham berharga rendah terutamanya dalam kaunter perbankan, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.80 mata kepada 1,418.05 daripada paras penutup 1,414.25 pada Rabu.
Indeks petunjuk utama itu dibuka tinggi naik 2.19 mata kepada 1,416.44, dan bergerak antara paras 1,413.46 dan 1,418.17 sepanjang hari dagangan.
Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 417 berbanding 388, manakala 414 kaunter tidak berubah, 1,075 tidak diniagakan dan 65 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 2.49 bilion unit bernilai RM1.46 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM1.54 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks serantau utama juga positif dengan perkembangan terkini berhubung panggilan telefon Presiden China, Xi Jinping yang menghubungi pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky serta rancangan China untuk menghantar delegasi ke Ukraine bagi kemungkinan usaha mencapai rundingan perjanjian damai.
Manakala Gabenor Bank of Japan, Kazuo Ueda juga dijangka mengekalkan dasar monetari yang lebih longgar, kata Thong.
"Di dalam negara, kami percaya sentimen pasaran masih kekal berhati-hati berikutan pelbagai perkembangan luaran walaupun aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka berterusan.
"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,410-1,420 menuju ke hujung minggu dengan paras sokongan segera pada 1,400 dan paras ketahanan pada 1,440," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat sembilan sen kepada RM8.70, CIMB naik dua sen kepada RM5.07, manakala Public Bank dan CelcomDigi tidak berubah masing-masing pada RM3.89 dan RM4.40. Petronas Chemicals susut 11 sen kepada RM7.04.
Dalam kalangan kaunter cergas, Classita naik dua sen kepada 18 sen, Tanco meningkat 5.5 sen kepada 53.5 sen manakala Computer Forms dan Velesto naik satu sen masing-masing kepada 28 sen dan 23 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 19.74 mata kepada 10,411.82, Indeks FBMT 100 naik 17.05 mata kepada 10,094.73, Indeks FBM Emas Syariah merosot 1.78 mata kepada 10,748.98, Indeks FBM ACE menokok 1.74 mata kepada 5,352.40 dan Indeks FBM 70 jatuh 18.48 mata kepada 13,540.23.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.62 mata kepada 170.86 dan Indeks Perladangan jatuh 28.79 mata kepada 6,855.67, manakala Indeks Tenaga meningkat 3.84 mata kepada 847.34 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 67.99 mata kepada 15,560.03.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.66 bilion unit bernilai RM1.21 bilion daripada 1.73 bilion unit bernilai RM1.43 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran turun kepada 185.13 juta unit bernilai RM36.12 juta berbanding 301.54 juta unit bernilai RM56.14 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 651.76 juta saham bernilai RM206.91 juta daripada 517.42 juta saham bernilai RM170.95 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 295.47 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (412.74 juta); pembinaan (74.50 juta); teknologi (184.94 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (51.55 juta); hartanah (286.00 juta); perladangan (18.51 juta); REITs (7.54 juta), dana tertutup (3,600); tenaga (86.46 juta); penjagaan kesihatan (93.70 juta); telekomunikasi dan media (66.55 juta); pengangkutan dan logistik (49.70 juta); dan utiliti (33.99 juta).
-- Bernama