KUALA LUMPUR: Pelabur asing mencatat aliran keluar menerusi penjualan saham bernilai RM151.11 juta di Bursa Malaysia dalam minggu dagangan singkat yang berakhir pada 20 April 2023, kata MIDF Research.
Dalam laporan aliran dananya bagi minggu lalu, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata, pelabur asing melakukan penjualan saham berjumlah RM22.82 juta pada Selasa, RM93.57 juta pada Rabu dan RM68.83 juta pada Khamis.
"Isnin lalu menjadi satu-satunya hari yang mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM34.11 juta dengan tiga saham utama menjadi sasaran belian pelabur iaitu RHB Bank (RM12.1 juta), Pentamaster (RM8.1 juta) dan Fraser & Neave Holdings (RM7.0 juta)," katanya.
MIDF Research berkata, sektor dengan aliran keluar paling ketara adalah perkhidmatan kewangan (RM139.5 juta), teknologi (RM44.8 juta) dan utiliti (RM15.7 juta).
Selain itu, tiga sektor utama yang menyaksikan aliran masuk bersih asing pada minggu lalu adalah telekomunikasi dan media (RM44.4 juta), penjagaan kesihatan (RM18.4 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM9.7 juta).
"Setakat tahun ini, warga asing menjual ekuiti Malaysia secara bersih selama 10 minggu daripada 16 minggu yang berjumlah RM1.93 bilion," katanya.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan menjadi penjual bersih pada minggu lalu dengan aliran keluar sebanyak RM7.3 juta selepas berperanan sebagai pembeli bersih selama dua minggu.
"Mereka menjual sejumlah RM25.72 juta pada Isnin dan RM25.63 juta pada Selasa manakala bertindak melakukan belian bersih RM30.08 juta pada Rabu dan RM14.02 juta pada Khamis.
"Setakat tahun ini, mereka menjadi pembeli bersih bagi tempoh 11 minggu daripada 16 minggu yang berjumlah RM1.82 bilion," katanya.
Selain itu, peruncit tempatan muncul sebagai pembeli bersih utama minggu terbabit dengan mencatat RM158.3 juta, sekali gus mengubah trend jualan bersih kumpulan itu selama tiga minggu berturut-turut.
"Jumlah itu adalah yang terbesar sejak minggu berakhir 10 Februari lalu. Mereka telah bertindak sebagai pembeli bagi tempoh lapan daripada 16 minggu tahun ini dengan jumlah sebanyak RM108.14 juta," katanya.
Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata wujud peningkatan purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan iaitu 6.5 peratus manakala institusi tempatan dan pelabur asing mencatat penurunan sebanyak 4.4 peratus dan 7.6 peratus.
-BERNAMA