Rabu, 19 April 2023 | 8:31pm
Indeks utama dijangka diniagakan mendatar dalam julat 1,420 hingga 1,430 menjelang hujung minggu - Foto hiasan
Indeks utama dijangka diniagakan mendatar dalam julat 1,420 hingga 1,430 menjelang hujung minggu - Foto hiasan

Bursa Malaysia jatuh tiga hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari ketiga berturut-turut berikutan aktiviti pengambilan untung menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri dalam persekitaran prestasi pasaran serantau yang lemah, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.29 mata atau 0.5 peratus kepada 1,425.07 daripada 1,432.36 pada Selasa.

Indeks barometer dibuka rendah 0.79 mata kepada 1,431.57 dan bergerak antara 1,423.05 dan 1,431.57 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 597 berbanding 265 manakala 374 kaunter tidak berubah, 1,062 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.14 bilion unit bernilai RM1.76 bilion daripada 3.17 bilion unit bernilai RM1.85 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran serantau utama ditutup kebanyakannya rendah berikutan pelabur berhati-hati menunggu laporan pendapatan dan kemungkinan pergerakan kenaikan kadar faedah oleh bank pusat.

"Di peringkat domestik, kami menjangka dagangan rendah pada masa depan," katanya kepada Bernama.

Beliau turut menjangka FBM KLCI diniagakan mendatar dalam julat 1,420 hingga 1,430 menjelang hujung minggu.

Saham wajaran tinggi Maybank dan Public Bank, masing-masing merosot satu sen kepada RM8.69 dan RM3.97, Petronas Chemicals berkurangan 19 sen kepada RM7.21, CIMB dan CelcomDigi, masing-masing susut tiga sen kepada RM5.22 dan RM4.43.

Dalam kalangan saham aktif, Fitters Diversified tidak berubah pada lima sen, Pharmaniaga naik 1.5 sen kepada 39 sen dan Vinvest Capital meningkat satu sen kepada 20 sen manakala Hong Seng berkurangan setengah sen kepada 12.5 sen dan MY E.G susut dua sen kepada 82 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 64.68 mata kepada 10,475.80, Indeks FBMT 100 berkurangan 62.18 mata kepada 10,160.02 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 83.56 mata kepada 10,806.33.

Indeks FBM ACE merosot 37.12 mata kepada 5,352.59 dan Indeks FBM 70 jatuh 125.95 mata kepada 13,691.12.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 2.02 mata kepada 172.37, Indeks Perladangan berkurangan 32.92 mata kepada 6,851.72, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 40.89 mata kepada 15,690.58 dan Indeks Tenaga jatuh 7.0 mata kepada 860.19.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 2.12 bilion unit bernilai RM1.45 bilion daripada 2.08 bilion unit bernilai RM1.51 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 367.83 juta unit bernilai RM52.82 juta daripada 277.52 juta unit bernilai RM45.34 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 650.69 juta saham bernilai RM258.92 juta daripada 804.49 juta saham bernilai RM288.37 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 259.52 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (742.58 juta); pembinaan (57.92 juta); teknologi (309.76 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.42 juta); hartanah (198.06 juta); perladangan (23.62 juta); REIT (11.32 juta), dana tertutup (33,000); tenaga (55.99 juta); penjagaan kesihatan (203.95 juta); telekomunikasi dan media (95.70 juta); pengangkutan dan logistik (44.55 juta) dan utiliti (59.60 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X