Rabu, 12 April 2023 | 9:54pm
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Pengambilan untung, Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri aliran peningkatan selama tiga hari berturut-turut apabila ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung, kata peniaga.

Pada 5 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.15 mata kepada 1,434.74 daripada paras 1,435.89 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 1.13 mata kepada 1,437.02 dan bergerak dalam jajaran 1,429.00 hingga 1,437.08 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 469 berbanding 359 manakala 424 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,011 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.79 bilion unit bernilai RM1.78 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peringkat serantau menyaksikan indeks utama masing-masing ditutup bercampur-campur berikutan petunjuk dengan prestasi sama daripada pasaran saham semalaman di peringkat global.

Prestasi itu dicatatkan ketika pelabur sedang menunggu pengumuman data Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat (AS) pada lewat hari ini.

"Biarpun sentimen berhati-hati ketara di peringkat serantau, kami menjangkakan prospek pasaran ekuiti tempatan kekal positif berikutan penilaian dan keadaan ekonomi yang bertambah baik.

"Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan diniagakan dalam lingkungan 1,430-1,445 bagi tempoh berbaki minggu ini," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun tiga sen kepada RM8.70; Tenaga Nasional susut 12 sen kepada RM9.01; CIMB naik dua sen kepada RM5.24; Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.02 dan Petronas Chemicals meraih tiga sen kepada RM7.39.

Bagi saham aktif, Revenue naik enam sen kepada 33 sen; Hong Seng meningkat setengah sen kepada 13 sen; My EG naik 2.5 sen kepada 77 sen manakala Velesto susut setengah sen kepada 23 sen dan Top Glove rugi tiga sen kepada RM1.12.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 1.17 mata kepada 10,555.96; Indeks FBM 70 meningkat 29.11 mata kepada 13,814.87; Indeks FBMT 100 naik 0.90 mata kepada 10,234.58; Indeks FBM Emas Syariah susut 8.96 mata kepada 10,902.97 manakala Indeks FBM ACE turun 37.43 mata kepada 5,308.90.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 1.25 mata kepada 15,784.92; Indeks Tenaga menokok 9.74 mata kepada 882.56; Indeks Perladangan menambah 17.44 mata kepada 6,857.97 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.07 mata kepada 175.21.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.90 bilion unit bernilai RM1.56 bilion daripada 2.14 bilion unit bernilai RM1.57 bilion, semalam.

Selain itu, waran berkurangan kepada kepada 316.66 juta unit bernilai RM44.99 juta daripada 381.61 juta unit bernilai RM68.98 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 574.44 juta saham bernilai RM176.68 juta berbanding 524.51 juta saham bernilai RM188.01 juta, semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 282.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (314.16 juta); pembinaan (73.43 juta); teknologi (406.05 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (49.79 juta); hartanah (201.58 juta); perladangan (28.04 juta); REIT (4.04 juta); dana tertutup (46,700); tenaga (182.69 juta); penjagaan kesihatan (178.54 juta); telekomunikasi dan media (58.59 juta); pengangkutan dan logistik (81.42 juta) serta utiliti (43.71 juta).

– Bernama

Berita Harian X