KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia susut pada akhir urus niaga Isnin sejajar dengan aktiviti jualan ketara di pasaran serantau ketika pelabur kekal berhati-hati berikutan kemelut yang melanda sektor perbankan global, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.92 mata atau 0.70 peratus kepada 1,401.81 daripada 1,411.73 pada Jumaat lalu.
Indeks penanda aras itu dibuka turun 3.55 mata pada 1,408.18 dan bergerak dalam jajaran 1,400.49 hingga 1,408.52 sepanjang sesi hari ini.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 653 berbanding 275 manakala 338 kaunter tidak berubah, 996 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.47 bilion unit bernilai RM1.93 bilion berbanding 4.43 bilion unit bernilai RM4.09 bilion dicatatkan pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata kebimbangan berlakunya krisis perbankan global terus ketara walaupun bank di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bertindak melaksanakan langkah berkaitan mudah tunai kecemasan dan konsolidasi masing-masing.
"Malah, kalangan pelabur terus bersikap berhati-hati sementara menunggu untuk melihat lebih banyak petunjuk mengenai dasar monetari daripada hasil mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang dijadualkan minggu ini.
"Di peringkat domestik juga menyaksikan sentimen sama akibat faktor luaran itu walaupun kami percaya FBM KLCI dalam kedudukan terlebih jual," katanya kepada Bernama.
Pak Leng juga menjangkakan ini akan disusuli dengan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah dan menyaksikan indeks utama itu cenderung dalam aliran lebih tinggi sekitar 1,400 hingga 1,410 minggu ini.
"Daripada perspektif teknikal, rintangan segera adalah pada 1,400 dan 1,370 manakala rintangan pada 1,420," katanya.
Pasaran serantau menyaksikan Indeks Straits Times Singapura turun 1.48 peratus kepada 3,136.17; Nikkei 225 Jepun susut 1.42 peratus kepada 26,945.67; Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 2.65 peratus kepada 19,000.71 manakala Indeks Komposit SSE China menguncup 0.48 peratus kepada 3,234,91.
Bagi pasaran temparan, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia seperti IHH Healthcare naik dua sen kepada RM5.84; CelcomDigi menokok 10 sen kepada RM4.15; Hong Leong Bank kekal pada RM20.10; Maybank turun empat sen kepada RM8.34; Public Bank berkurangan dua sen kepada RM3.95 dan Petronas Chemicals kehilangan 23 sen kepada RM7.
Saham aktif pula digerakkan oleh Green Packet yang naik setengah sen kepada 5.5 sen; Niche Capital menambah empat sen kepada 17.5 sen; Zen Tech tidak berubah pada tiga sen; Hong Seng Consolidated susut setengah sen kepada 14 sen dan Top Glove rugi satu sen kepada 90.5 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 87.29 mata kepada 10,249.11; Indeks FBM 70 menguncup 153.76 mata kepada 13,211.89 dan Indeks FBMT 100 susut 81.37 mata kepada 9,947.51.
Indeks FBM Emas Syariah pula berkurangan 80.93 mata kepada 10,586.31 dan Indeks FBM ACE turun 30.21 mata kepada 5,218.73.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 85.69 mata kepada 15,454.02; Indeks Tenaga susut 37.65 mata kepada 785.21; Indeks Perladangan berkurangan 91.85 mata kepada 6,780.47 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 2.51 mata kepada 167.54.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.28 bilion saham bernilai RM1.66 bilion berbanding 2.9 bilion saham bernilai RM3.69 bilion pada Jumaat.
Waran pula meningkat kepada 550.98 juta unit bernilai RM86.67 juta daripada 499.27 juta unit bernilai RM77.84 juta sebelumnya.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 633.67 juta saham bernilai RM182.64 juta daripada 1.03 bilion saham bernilai RM320.82 juta.
Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 475.24 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (488.38 juta); pembinaan (45.28 juta); teknologi (291.39 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (127.76 juta); hartanah (91.11 juta); perladangan (25.12 juta); REIT (15.94 juta), dana tertutup (5,000); tenaga (22.24 juta); penjagaan kesihatan (194.19 juta); telekomunikasi dan media (196.14 juta); pengangkutan dan logistik (64.49 juta) serta utiliti (46.19 juta).
-BERNAMA