KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup dalam julat positif berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah pada sesi dagangan lewat, dalam persekitaran prestasi bursa serantau bercampur-campur.
Pada 5 petang, petunjuk pasaran FBM KLCI naik 4.22 mata untuk ditutup pada paras tertinggi harian 1,488.19 daripada 1,483.97 pada Selasa.
Indeks utama dibuka rendah 1.17 mata kepada 1,482.80 dan mencecah paras terendah pada 1,478.31 sebelum rehat tengah hari.
Bagaimanapun, suasana pasaran kekal negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 450 berbanding 433 manakala 407 kaunter tidak berubah, 923 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 3.49 bilion unit bernilai RM2.02 bilion daripada 3.20 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa indeks serantau utama kebanyakannya merosot berikutan petunjuk negatif daripada Wall Street semalaman selepas inflasi AS mencatatkan lebih tinggi daripada jangkaan.
Beliau berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) AS meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun pada Januari 2023, tinggi sedikit daripada unjuran ahli ekonomi sebanyak 6.2 peratus.
"Dalam negara, kami mengekalkan pandangan positif kami terhadap ekuiti tempatan didorong oleh pendapatan korporat yang kukuh dan asas ekonomi tempatan yang lebih baik.
"Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan kekal pada aliran meningkat dan menguji semula paras 1,500 untuk baki minggu ini. Dari aspek teknikal, kami mengesan paras halangan segera pada 1,500 dan paras sokongan pada 1,460," kata Pak Leng.
Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia Maybank tidak berubah pada RM8.80, Public Bank merosot 1.0 sen kepada RM4.18. Petronas Chemicals meningkat 7.0 sen kepada RM8.22 manakala CIMB dan Tenaga Nasional, masing-masing menambah 2.0 sen kepada RM5.43 dan RM9.95.
Bagi saham aktif, MYEG naik 7.0 sen kepada 69.5 sen, Zen Tech dan Hong Seng, masing-masing meningkat setengah sen kepada 3.5 sen dan 21.5 sen, ATA IMS menambah 5.5 sen kepada 38 sen manakala Saudee merosot setengah sen kepada 4.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 38.88 mata kepada 10,826.64, Indeks FBMT 100 meningkat 36.07 mata kepada 10,493.48 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 62.13 mata kepada 11,174.01.
Indeks FBM 70 menambah 74.15 mata kepada 13,649.29 dan Indeks FBM ACE naik 19.17 mata kepada 5,710.84.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 4.56 mata kepada 16,161.06 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.18 mata kepada 190.71 manakala Indeks Tenaga merosot 4.08 mata kepada 892.64 dan Indeks Perladangan berkurangan 13.64 mata kepada 6,902.90.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.29 bilion saham bernilai RM1.64 bilion daripada 2.09 bilion saham bernilai RM1.74 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran naik kepada 359.74 juta unit bernilai RM50.75 juta daripada 292.57 juta unit bernilai RM33.18 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 896.29 juta saham bernilai RM330.37 juta daripada 813.03 juta saham bernilai RM380.42 juta sebelum ini.
Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 295.30 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (576.45 juta); pembinaan (112.78 juta); teknologi (794.12 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (45.01 juta); hartanah (102.70 juta); perladangan (26.44 juta); REIT (6.40 juta), dana tertutup (12,000); tenaga (137.51 juta); penjagaan kesihatan (67.78 juta); telekomunikasi dan media (17.67 juta); pengangkutan dan logistik (36.95 juta) dan utiliti (10.52 juta).
-BERNAMA