Jumaat, 6 Januari 2023 | 8:37pm
Indeks ditutup pada 1,480.55 mata minggu ini - Foto hiasan
Indeks ditutup pada 1,480.55 mata minggu ini - Foto hiasan

Bursa Malaysia berakhir lesu minggu pertama 2023

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia hampir mendatar ketika mengakhiri dagangan minggu pertama tahun ini berikutan kekurangan pemangkin positif, di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.38 mata kepada 1,480.55 daripada 1,480.93 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.40 mata kepada 1,479.53 dan mencatat aliran pergerakan sekitar 1,474.47 hingga 1,482.39 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 452 berbanding 383 manakala 408 kaunter lain tidak berubah, 967 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.16 bilion unit bernilai RM1.62 bilion daripada 3.31 bilion unit bernilai RM1.96 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks utama itu didagangkan dalam julat 13 kali daripada nisbah pendapatan harga berbanding purata lima tahun sekitar 18 kali yang memaparkan potensi untuk terus meningkat.

"Selain itu, masih terdapat segelintir pelabur yang berhati-hati susulan faktor ketidaktentuan pasaran global yang terus ketara," katanya.

Prestasi saham wajaran tinggi menyaksikan HH Healthcare untung lima sen kepada RM6.06, Digi dan Hong Leong Bank masing-masing naik 10 sen kepada RM3.96 dan RM20.44, Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM4.30 dan RM8.40 manakala Maybank rugi satu sen kepada RM8.77 dan CIMB kehilangan enam sen kepada RM5.67.

Bagi saham aktif, DS Sigma yang mencatat kemunculan sulung di Pasaran ACE untung tujuh sen kepada 62 sen, Cypark menokok 6.5 sen kepada 65 sen, Zen Tech meraih satu sen kepada 3.5 sen, Borneo Oil tidak berubah pada dua sen, Top Glove turun 1.5 sen kepada 89.5 sen dan Citaglobal berkurangan satu sen kepada 34.5 sen.

Di papan indeks pula menyaksikan Indeks FBM Emas menguncup 2.64 mata kepada 10,632.33, Indeks FBMT 100 turun 5.92 mata kepada 10,342.42 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 1.32 mata kepada 10,835.87.

Indeks FBM 70 merosot 21.39 mata kepada 13,034.71 manakala Indeks FBM ACE naik 5.60 mata kepada 5,377.90.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 8.88 mata kepada 16,415.48, Indeks Perladangan merosot 74.64 mata kepada 6,890.17, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.19 mata kepada 181.67 dan Indeks Tenaga meningkat 3.71 mata kepada 777.59.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.09 bilion saham bernilai RM1.19 bilion daripada 2.28 bilion saham bernilai RM1.60 bilion pada Khamis.

Waran pula susut kepada 279.76 juta unit bernilai RM61.91 juta daripada 319.36 juta unit bernilai RM71.90 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya melonjak kepada 797.13 juta saham bernilai RM363.43 juta daripada 707.22 juta saham bernilai RM287.34 juta.

Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 245.91 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (698.11 juta); pembinaan (40.43 juta); teknologi (703.60 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (32.17 juta); hartanah (86.13 juta); perladangan (23.92 juta); REIT (70.40 juta), dana tertutup (19,000); tenaga (60.47 juta); penjagaan kesihatan (113.28 juta); telekomunikasi dan media (16.61 juta); pengangkutan dan logistik (34.31 juta) serta utiliti (23.89 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X