KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan berdepan turun naik tidak menentu sepanjang 2022, dipengaruhi inflasi yang tinggi, kenaikan kadar faedah secara agresif Amerika Syarikat (AS), kebimbangan kemelesetan dan ketegangan geopolitik.
Ketidaktentuan pasaran global itu menyebabkan saham pandu pasaran, indeks FBM KLCI, yang memulakan 2022 secara positif, didagangkan hampir seluruh tahun ini di bawah paras 1,500 mata.
Indeks penanda aras Bursa Malaysia itu mengakhiri separuh pertama 2022 pada paras 1,444 mata, jatuh 7.9 peratus berbanding paras akhir 2021 pada 1,568 mata.
Langkah agresif bank pusat AS, Rizab Persekutuan (Fed) menaikkan kadar faedahnya, dengan yang terkini ke paras 4.25 peratus hingga 4.5 peratus, tertinggi dalam tempoh 15 tahun mendorong prestasi FBM KLCI yang negatif.
Malah, indeks penanda aras Bursa Malaysia merosot sehingga ke paras 1,373.4 mata pada Oktober 2022, paras terendah dalam tempoh dua tahun.
Pelaksanaan Cukai Makmur pada 2022 juga mempengaruhi pendapatan korporat tempatan ditambah dengan ketidaktentuan politik domestik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Secara keseluruhan, indeks penanda aras itu mencatatkan penurunan sebanyak 4.6 peratus kepada 1,495.49 pada hari dagangan terakhir 2022 berbanding 1,567.53 mata yang dicatatkan pada 31 Disember 2021.
Turun naik pasaran ekuiti tempatan itu turut memberi cabaran kepada pengurus dana tempatan dalam memberikan dividen yang tinggi.
Namun, kepelbagaian portfolio pelaburan membolehkan pengurus dana tempatan seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) memberi dividen yang kekal berdaya saing kepada pemegang dana amanahnya.
Terkini, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit, berjumlah 4.60 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Anak syarikat milik penuh PNB itu juga mengumumkan bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.
Mengenai tinjauan prestasi pasaran ekuiti tempatan pada 2023, MIDF Research menjangkakan faktor luaran seperti Fed AS akan terus menjadi faktor mempengaruhi pasaran ekuiti Malaysia pada 2023, dengan bank pusat AS itu dijangka memperlahankan kenaikan kadar utamanya itu.
Firma penyelidikan tempatan itu menjangkakan pasaran ekuiti akan lebih optimistik disebabkan tekanan yang tidak keterlaluan apabila risiko berkurangan dengan berakhirnya kitaran yang lebih ketat.
Namun begitu, katanya, pasaran juga dijangka bergerak berhati-hati berikutan risiko kemelesetan ekonomi AS, keadaan tidak menentu di Ukraine yang boleh berubah dengan drastik, serta ketidaktentuan yang menyelubungi ekonomi China.
Ia menjangkakan Indeks FBM KLCI pada 2023 berada pada paras 1,700 mata.
TA Securities juga menjangkakan indeks penanda aras Bursa Malaysia itu mengakhiri 2023 secara positif pada paras 1,700 mata.
Ia berkata, ekonomi Malaysia dijangka kukuh disokong aktiviti domestik dan terdapat kemungkinan peningkatan pegangan asing dalam ekuiti Malaysia tahun depan.
CGS-CIMB Securities mengunjurkan FBM KLCI mengakhiri tahun 2023 pada 1,633 mata, sementara Maybank IBG Research mengunjurkan indeks penanda aras itu bagi akhir tahun 2023 pada 1,660 mata.