KUALA LUMPUR: Persekitaran kerja yang fleksibel meningkatkan produktiviti dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain mengubah perbelanjaan pengguna secara geografi apabila orang ramai akan lebih berbelanja berdekatan kediaman masing-masing yang sekali gus membantu perniagaan kecil dan mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi.
Pemikir dan Penyelidik Reka Bentuk, Dr Jesrina Ann, berkata berdasarkan penyelidikan dalam kalangan PKS di Kuala Lumpur, persekitaran kerja yang fleksibel telah terbukti dapat meningkatkan produktiviti kerana ia mengurangkan ketidakhadiran, ketiadaan dan penggunaan cuti sakit.
Produktiviti yang lebih tinggi menyebabkan penjimatan dalam kos marginal, kemudiannya ia boleh dilaburkan untuk penyelidikan dan pembangunan yang seterusnya akan meningkatkan kualiti barangan dan perkhidmatan, katanya dalam program bual bicara 'The Brief' Bernama TV hari ini.
Beliau berkata, waktu fleksibel membawa kepada perubahan dalam perbelanjaan pengguna, menyaksikan orang ramai mula meluangkan lebih banyak masa berdekatan kediaman masing-masing dan dapat mewujudkan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan daripada perniagaan kecil tempatan.
Secara geografinya, ia dapat menyebar luas perbelanjaan dan mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi, jelas beliau.
Menurut Jesrina, penyelidikan yang dilakukan beliau adalah melalui ideologi pemikiran reka bentuk yang menjiwai pekerja serta mengenal pasti cabaran kembali ke pejabat (RTO) dan situasi selepas bekerja dari rumah (WFH) - yang berlaku semasa sekatan pergerakan COVID-19 mempunyai kedua-dua kelebihan dan kelemahan.
Beliau berkata, antara cabaran RTO ialah kekurangan sempadan kerja yang menjurus kepada kemerosotan dalam keseimbangan kerja/kehidupan dan keletihan mental dan fizikal kerana pekerja kini perlu kembali melakukan perjalanan ke pejabat.
Pengurus juga mendapati sukar untuk mengurus keberkesanan aliran kerja kerana sesetengah pekerja bekerja dari rumah dan yang lain di pejabat manakala terdapat kekurangan yang jelas dalam semangat kakitangan yang mengurangkan produktiviti.
Beliau berkata, beberapa penyelesaian mengikut ideologi pemikiran reka bentuk untuk PKS yang berfungsi dengan baik ialah gabungan waktu kerja yang fleksibel, di samping penggunaan aplikasi seperti Waze atau Google Maps yang menjimatkan masa perjalanan yang ketara - pergi dan balik pejabat.
"Ini hanya boleh dicapai sekiranya pemilik perniagaan bersedia membenarkan pekerja mereka masuk atau keluar, pada masa yang fleksibel."
"Untuk mengurus produktiviti dan aliran kerja, kami menguji idea kerja empat hari di pejabat dan satu hari WFH, yang berfungsi dengan baik dengan penggunaan aplikasi seperti Evernote, Toggl Plan atau Todoist kerana aplikasi ini membantu dalam perancangan, senarai semak, peringatan dan juga pengesanan projek."
Idea untuk menggalakkan ucapan terima kasih disuarakan dalam kalangan rakan sepasukan dan bukannya menganggap organisasi sebagai tempat transaksi juga meningkatkan semangat dan kesejahteraan pekerja.
Sementara itu, antara kelemahan pula ialah persekitaran kerja yang fleksibel menunjukkan kekurangan aliran pengetahuan dalam kalangan pekerja, terutamanya apabila terdapat keperluan untuk memperoleh kemahiran melalui pembelajaran dengan mempraktikkannya.
Dalam hal ini, produktiviti jangka panjang mungkin terjejas, kerana apabila orang berkongsi ruang kerja yang sama, mereka cenderung untuk belajar dengan lebih pantas dan lebih baik.
Jesrina juga berkata, majikan harus mengambil tahu hakikat bahawa persekitaran kerja yang fleksibel adalah perintis kepada ketangkasan tenaga kerja.
Kepada generasi milenium, menawarkan pilihan di tempat kerja adalah lebih penting daripada hanya gaji semata-mata manakala Gen-X dan 'baby boomers' di luar sana juga tidak kisah dengan fleksibiliti.
"Tetapi adalah penting bagi majikan untuk menyedari bahawa milenium dan tidak lama lagi, Gen Z akan memilih ketangkasan di tempat kerja lebih daripada insentif yang ditawarkan pada masa ini," katanya.
Syarikat-syarikat yang dapat kekal tangkas dalam keadaan yang berubah-ubah ini mungkin melihat peningkatan dalam produktiviti, penambahbaikan dalam keuntungan, penciptaan kelebihan daya saing dan pada masa yang sama dapat menarik dan mengekalkan bakat terbaik.
Namun begitu, beliau berkata di Malaysia, masih terdapat percanggahan antara majikan dan pengurusan dan pekerja mereka tentang perkara yang diperlukan untuk persekitaran kerja yang fleksibel, sambil menyatakan terdapat kekurangan mengenai kejelasannya di negara ini.
Majikan seharusnya faham mengenai jenis perbezaan persekitaran kerja fleksibel, yang mana terdapat kerja secara hibrid – iaitu sesetengah pekerja akan bekerja di pejabat dan beberapa dari rumah bergantung pada pilihan mereka.
Kemudian terdapat pula kerja empat hari seminggu yang dikenali sebagai minggu kerja termampat dan terdapat juga masa anjal yang mana pekerja diberi kebebasan untuk memilih bila hari bekerja mereka bermula dan berakhir, selagi mereka bekerja dengan jumlah jam yang ditetapkan.
"Bagi memastikan ia berjaya, majikan dan pekerja perlu mencari persekitaran kerja yang akan memberikan fleksibiliti yang mencukupi untuk memastikan kakitangan gembira tanpa mengalami kesan negatif terhadap produktiviti atau kualiti kerja," katanya.
-BERNAMA