Selasa, 23 November 2021 | 3:54pm
Gambar fail.
Gambar fail.

Harga sawit susut, bekalan bertambah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) berada dalam aliran rendah berikutan lebih banyak negara pengeluar boleh melakukan penuaian.

Ketua Setiausaha KPPK, Datuk Ravi Muthayah berkata harga komoditi akan susut sedikit susulan sentimen pasaran yang lemah.

"Kenaikan kukuh harga MSM sejak Jun 2020 baru-baru ini telah didorong oleh gangguan bekalan minyak makan utama serta di negara pengeluar minyak sawit, dengan MSM diniagakan pada AS$1,230 satu tan.

"Seperti yang kita saksikan pada 15 Oktober ini juga adalah harga yang menjadi rekod dalam industri minyak sawit," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada forum 'Prospek Cabaran dan Peluang bagi Pengeluar Minyak Sawit (OCOPOP) secara maya pada Selasa.

Beliau berkata pihaknya berharap negara pengeluar seperti Malaysia akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan harga yang saksama, di samping bersedia menghadapi sebarang cabaran khususnya dari pasaran yang mempunyai sentimen negatif terhaadap minyak sawit.

"Beberapa naratif negatif ke atas minyak sawit merupakan isu yang tidak pernah berakhir. Kita dapati ia bermula dengan laporan mendakwa minyak sawit dipenuhi dengan lemak tepu yang menyebabkan penyakit jantung koronari.

"Kemudian, kita saksikan pula arahan tenaga boleh baharu turut mengkategorikan minyak sawit sebagai produk perubahan kegunaan tanah secara tidak langsung (ILUC) dan akan menamatkan bahan api bio berasaskan minyak sawit secara beransur-ansur pada 2030," katanya.

Ravi berkata baru-baru ini, minyak sawit adalah satu-satunya sasaran bagi ILUC yang tinggi.

Memandangkan minyak kacang soya telah dikeluarkan daripada senarai itu, banyak negara, terutama anggota Kesatuan Eropah (EU) telah mula menerapkan Arahan Tenaga Boleh Baharu (RED II) EU ke dalam undang-undang tempatan mereka yang secara tidak langsung melarang atau lebih tepat meletakkan biodiesel berasaskan minyak sawit pada kedudukan yang tidak menguntungkan, katanya.

Selain itu, beliau berkata minyak sawit sering dikaitkan dengan isu keselamatan dan kesihatan makanan seperti mengandungi diol monochloropropane tinggi -3 (3-MCPD) selain minyak hidrokarbon mineral yang dikesan baru-baru ini dalam beberapa produk.

"Ini adalah beberapa cabaran yang ditimbulkan oleh industri dan adalah penting untuk kami menangkis dakwaan tersebut dengan fakta berasaskan bukti bagi memastikan industri yang lebih mampan," katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai OCOPOP, yang dianjurkan oleh Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) berkata objektif webinar itu adalah untuk menyediakan platform interaksi dan perbincangan yang membabitkan semua pihak berkepentingan, terutama mengenai tiga aspek utama industri minyak sawit yang berkaitan dengan bekalan, permintaan serta harga di pasaran global.

"Terdapat keperluan untuk membangunkan strategi bekalan dan permintaan yang seimbang dalam memastikan harga pasaran agar kekal menguntungkan supaya ia turut mampu menyediakan mata pencarian yang mampan kepada pekebun kecil.

"Perbincangan mengenai merangka strategi untuk bekalan mampan, permintaan serta harga untung minyak sawit akan menumpukan terhadap kebimbangan yang dihadapi oleh pengeluar. Mudah-mudahan ini akan mencari jalan bagi meningkatkan kerjasama untuk mengurangkan ancaman, cabaran dan membangunkan peluang kepada pengeluar minyak sawit," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Makanan dan Perniagaan di Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Dr Musdhalifah Machmud berkata negara itu telah merangka pelan hala tuju pembangunan industri minyak sawit hiliran untuk meningkatkan produktiviti dan menyokong aktiviti industri, mewujudkan ekosistem, melaksanakan tadbir urus yang baik, meningkatkan pembangunan kapasiti serta membangunkan teknologi ke arah mengembangkan perniagaan minyak sawit.

"Bukan sahaja mengenai isu permintaan dan bekalan tetapi juga kawalan yang lebih besar terhadap keseluruhan rantaian bekalan industri, untuk itu berlaku di negara kami, ia mesti mewujudkan ekosistem yang kondusif termasuk lebih banyak pelaburan dalam industri hiliran," katanya.

Ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Pembantu kepada Timbalan Menteri Tanaman Perladangan, Pembangunan Perniagaan Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi, Moch Edy Yusuf. - BERNAMA

Berita Harian X