Jumaat, 6 Ogos 2021 | 6:50pm
Ibu pejabat Bursa Malaysia di Bukit Kewangan - Foto fail Bloomberg
Ibu pejabat Bursa Malaysia di Bukit Kewangan - Foto fail Bloomberg

Bursa Malaysia akhiri dagangan mingguan lebih rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Jumaat, dipengaruhi oleh penjualan saham berwajaran tinggi terpilih dalam keadaan sentimen pasaran yang lemah berikutan kebimbangan terhadap kes COVID-19 harian yang tinggi di peringkat tempatan.

Bagaimanapun, pengumuman mengenai beberapa negeri telah beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN) membantu mengurangkan aliran penurunan.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.98 mata untuk mengakhiri dagangan Jumaat pada 1,489.80 daripada 1,495.78 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras pasaran itu dibuka 0.92 mata lebih rendah kepada 1,494.86 sebelum bergerak di antara 1,486.05 dengan 1,498.59 sepanjang dagangan.

Lingkungan pasaran hampir tidak berubah dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 496 berbanding dengan 495, manakala 431 kaunter tidak berubah, 771 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 4.29 bilion unit bernilai RM2.53 bilion daripada 4.69 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Khamis.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata FBM KLCI yang ditutup 0.4 peratus lebih rendah adalah seiring dengan prestasi kebanyakan pasaran di bursa serantau ekoran kebimbangan terhadap varian COVID-19 Delta yang mungkin menjejaskan prospek pemulihan ekonomi, telah melemahkan sentimen pelabur pada Jumaat.

Beliau juga memetik data Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang melaporkan jumlah global kes COVID-19 telah melebihi 200 juta.

"China telah mengenakan sekatan pergerakan untuk mengekang penularan varian Delta, termasuk membatalkan penerbangan dan menghentikan sementara perkhidmatan kereta api," katanya.

Malaysia merekodkan 20,889 kes baharu hari ini -- jumlah harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara pada Februari 2020.

Mengulas lanjut, Adam berkata kaunter rugi di FBM KLCI kebanyakannya didominasi oleh kaunter sarung tangan iaitu Hartalega dan Top Glove, yang masing-masing susut 2.1 peratus dan 2.4 peratus.

Justeru, Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia mengalami penurunan terbesar dalam kalangan sektor apabila menguncup 1.2 peratus pada penutupan dagangan.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM7.98, Public Bank kurang dua sen kepada RM3.94, Petronas Chemicals susut satu sen kepada RM7.99, Tenaga merosot 11 sen kepada RM9.61 manakala CIMB tidak berubah pada RM4.55.

Bagaimanapun, IHH naik dua sen kepada RM5.74.

Antara saham aktif, Dagang Nexchange meningkat tujuh sen kepada 82.5 sen, Kanger turun setengah sen kepada enam sen, Serba Dinamik menambah setengah sen kepada 40 sen, sementara Vsolar tidak berubah pada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 26.64 mata kepada 10,954.1; Indeks FBMT 100 kurang 31.22 mata kepada 10,663.63 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 32.78 mata kepada 12,035.95.

Bagaimanapun, FBM 70 menokok 2.18 mata kepada 14,559.18 dan FBM ACE naik 3.66 mata kepada 7,175.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 52.39 mata kepada 14,704.46 manakala Indeks Perladangan meningkat 27.53 mata kepada 6,125.45 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.65 mata kepada 188.69.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.85 bilion saham bernilai RM2.15 bilion daripada 2.05 bilion saham bernilai RM1.92 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran sebanyak 274.24 juta unit bernilai RM33.83 juta berbanding dengan 264.48 juta unit bernilai RM38.71 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula merosot kepada 1.16 bilion saham bernilai RM349.35 juta daripada 2.38 bilion saham bernilai RM465.89 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 427.13 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (1.08 bilion), pembinaan (130.76 juta), teknologi (501.88 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (64.55 juta), hartanah (255.99 juta), perladangan (25.25 juta), REIT (5.35 juta), dana tertutup (18,000), tenaga (155.49 juta), penjagaan kesihatan (65.96 juta), telekomunikasi dan media (28.77 juta), pengangkutan dan logistik (78.07 juta) serta utiliti (33.28 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X