Jumaat, 23 Julai 2021 | 11:01am

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit susut sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Jumaat apabila sentimen belian terhadap unit tempatan itu merosot.

Ia selepas Malaysia mencatat kes harian COVID-19 kedua tertinggi pada Khamis.

Sejumlah 13,034 kes harian COVID-19 dilaporkan semalam yang menjadikan angka keseluruhan negara mencecah 964,918 kes.

Pada 9.05 pagi ini, ringgit susut kepada 4.2210/2245 berbanding dolar AS daripada 4.2205/2250 pada akhir urus niaga Khamis.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS sebaliknya kini mula susut berbanding ringgit selepas mencatat kenaikan selama 11 hari berturut-turut.

"Penyusutan itu sememangnya dijangkakan oleh pasaran. Ini kerana adalah biasa untuk pelabur bertindak mengambil untung setiap kali pasaran mencatat pergerakan yang lebih jelas," katanya.

Selain itu, ringgit turut mencecah paras rintangan utama sekitar 4.2400 berbanding dolar AS yang hanya menambah tekanan jualan terhadap unit berkenaan.

Dari segi teknikal, beliau menjangkakan ringgit berkemungkinan turun ke paras 4.17 berbanding dolar AS yang akan disusuli dengan tekanan jualan.

Pada awal urus niaga hari ini, ringgit kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali euro yang menyaksikan unit tempatan itu mengukuh kepada 4.9707/9754 daripada 4.9781/9834, semalam.

Ringgit juga rendah berbanding yen kepada 3.8315/8355 daripada 3.8281/8325, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1103/1133 daripada 3.1026/1064 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.8122/8177 daripada 5.8028/8090 semalam. – Bernama

Berita Harian X