Khamis, 22 Julai 2021 | 8:06pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan indeks utama meningkat 0.73 peratus disokong oleh saham telekomunikasi seperti Digi dan Axiata.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.10 mata untuk ditutup pada paras tertinggi hariannya pada 1,527.62 berbanding paras penutup 1,516.52 pada Rabu.

Indeks utama dibuka 2.48 mata lebih tinggi pada 1,519.0 dan bergerak antara paras 1,518.01 dan 1,527.62 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 680 berbanding 320, manakala 416 kaunter tidak berubah, 828 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 5.19 bilion unit bernilai RM2.98 bilion daripada 5.47 bilion unit bernilai RM3.44 bilion pada Rabu.

Seorang peniaga berkata prestasi pasaran domestik yang kukuh itu adalah sejajar dengan prestasi pasaran serantau, seiring dengan prestasi memberangsangkan di Wall Street semalaman dan jangkaan jaminan daripada Bank Pusat Eropah bahawa sokongan dasar akan berterusan untuk beberapa ketika.

Harga minyak juga meningkat dengan penanda aras minyak mentah Brent meningkat 0.91 peratus kepada AS$72.89 setong.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 1.29 peratus kepada 3,159.26, Nikkei 225 Jepun naik 0.58 peratus kepada 27,548.0 dan Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 1.83 peratus kepada 27,723.84.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Digi meningkat 12 sen kepada RM4.25, Axiata naik sembilan sen kepada RM3.87, My DIY melonjak 13 sen kepada RM3.47, CIMB menambah tujuh sen kepada RM4.55, Maybank naik tiga sen kepada RM8.04, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.02 manakala Petronas Chemicals dan TNB naik tiga sen masing-masing kepada RM8.08 dan RM9.74.

Dalam kalangan saham cergas, Dagang Nexchange naik 2.5 sen kepada 77.5 sen, Globaltec meningkat 10.5 sen kepada 68 sen, JAKS Resources menokok tiga sen kepada 51.5 sen, Borneo Oil dan Kanger International kedua-duanya tidak berubah masing-masing pada tiga sen dan 7.5 sen, manakala Pasukhas turun setengah sen kepada 10.5 sen dan Saudee susut 3.5 sen kepada 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat sebanyak 85.06 mata kepada 11,188.40, Indeks FBMT 100 naik 81.59 mata kepada 10,887.76 dan FBM ACE menokok 79.29 mata kepada 7,382.16.

Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 106.04 mata kepada 12,321.99 dan FBM 70 naik 119.67 mata kepada 14,684.60.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 90.27 mata kepada 14,884.51, Indeks Perladangan menambah 70.06 mata kepada 6,243.47 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.76 mata kepada 190.11.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.91 bilion saham bernilai RM2.41 bilion daripada 2.64 bilion saham bernilai RM2.50 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 387.83 juta unit bernilai RM38.71 juta daripada 356.07 juta unit bernilai RM36.39 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 1.89 bilion saham bernilai RM527.94 juta daripada 2.46 bilion saham bernilai RM901.88 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 607.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.08 bilion), pembinaan (154.71 juta, teknologi (398.72 juta) SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.31 juta), hartanah (126.13 juta), perladangan (24.0 juta), REIT (2.74 juta), dana tertutup (4,200), tenaga (214.40 juta), penjagaan kesihatan (105.44 juta), telekomunikasi dan media (72.54 juta), pengangkutan dan logistik (47.55 juta) dan utiliti (16.67 juta).

- BERNAMA

Berita Harian X