Khamis, 22 Julai 2021 | 10:33am
Gambar fail. - Foto: AFP
Gambar fail. - Foto: AFP

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat kembali untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Khamis, didorong minat belian terhadap unit tempatan menjelang pemakluman data Indeks Harga Pengguna (IHP) esok.

Prestasi itu sekali gus mengakhiri penyusutan selama 10 hari berturut-turut yang dialami ringgit berbanding dolar AS.

Pada 9.20 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.2280/2295 berbanding dolar AS daripada 4.2320/2345 ketika ditutup pada Rabu.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz bagaimanapun menjangkakan pergerakan itu hanya dalam tempoh yang singkat memandangkan semakin besar pergerakan meningkat yang kukuh, semakin cenderung pasaran untuk mengalami penurunan yang lebih ketara.

Beliau berkata ringgit telah mencecah paras rintangan pada 4.2350 berbanding dolar AS dan dolar menunjukkan tanda-tanda awal bagi pergerakan kurang memberangsangkan.

"Dari sudut pandang teknikal, penurunan besar adalah dijangkakan berikutan pelabur seperti ketiadaan dorongan.

"Sekiranya penurunan besar berlaku, ini dapat mendorong ringgit sehingga 4.1750, di mana lebih banyak tekanan belian dijangka menyokong dolar," katanya.

Sementara itu unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0990/1006 daripada 3.0938/0961 ketika ditutup pada Rabu dan susut berbanding pound Britain kepada 5.7902/7923 daripada 5.7695/7729.

Mata wang tempatan rendah berbanding euro kepada 4.9840/9857 daripada 4.9819/9849 namun meningkat berbanding yen kepada 3.8388/8405 daripada 3.8448/8474.

– Bernama

Berita Harian X