Rabu, 21 Julai 2021 | 8:00pm
Papan indeks Bursa Malaysia - Foto hiasan
Papan indeks Bursa Malaysia - Foto hiasan

Bursa Malaysia sekali lagi ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Rabu dengan lebih rendah berikutan sentimen yang kurang memberangsangkan serta kebimbangan mengenai impak varian Delta COVID-19 ke atas ekonomi global selain prestasi sebahagian besar pasaran serantau, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.45 mata kepada 1,516.52 berbanding 1,519.97 sewaktu pasaran ditutup pada Isnin.

Bursa ditutup semalam sempena cuti umum Aidiladha.

Sewaktu dagangan dibuka pagi ini, indeks penanda aras itu menokok 1.40 mata kepada 1,521.37 dan bergerak dalam jajaran 1,515.34 dan 1,521.57 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 580 berbanding 400 manakala 450 kaunter tidak berubah, 813 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.47 bilion unit bernilai RM3.44 bilion daripada 4.82 bilion unit bernilai RM3.43 bilion yang dicatatkan pada Isnin lalu.

Seorang peniaga berkata, pasaran tempatan dibuka tinggi pagi ini, didorong oleh peningkatan prestasi semalaman Wall Street namun kembali susut apabila kebimbangan mengenai penularan COVID-19 terus memberi kesan terhadap sentimen pasaran dan menyebabkan pelabur bertindak melepaskan pegangan aset-aset berisiko.

"Pasaran saham Asia mencatat prestasi bercampur-campur pada Rabu susulan peningkatan semula Wall Street dan lonjakan eksport Jepun. Bagaimanapun, peningkatan itu ternyata sementara ketika pelabur lebih mengutamakan impak varian Delta itu terhadap ekonomi global," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau menyaksikan pasaran Indeks Straits Times Singapura naik 0.29 peratus kepada 3,120.28; Nikkei Jepun 225 menokok 0.58 peratus kepada 27,548.0; Indeks Hang Seng Hong Kong sebaliknya susut 0.13 peratus kepada 27,224.58 dan Kospi Korea Selatan turun 0.52 peratus kepada 3,215.91.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata FBM KLCI susut 0.23 peratus pada Rabu, diheret turun oleh prestasi Mr D.I.Y yang merosot 4.0 peratus dan menyebabkan Indeks Produk dan Perkhidmatan Pengguna Bursa Malaysia berkurangan 0.6 peratus pada akhir dagangan.

"Selain itu, lonjakan kes jangkitan COVID-19 itu telah memacu Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia sebanyak 2.0 peratus, didorong oleh peningkatan yang dicatatkan oleh kaunter sarung tangan getah," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi satu sen kepada RM8.01, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.01, TNB merosot lima sen kepada RM9.71 dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM5.74.

Petronas Chemicals sebaliknya naik lima sen kepada RM8.05.

Bagi saham aktif, waran Pasukhas menokok 1.5 sen to two sen manakala sahamnya naik setengah sen kepada 11 sen, Systech menambah satu sen kepada 31.5 sen manakala Haily Group yang melakukan kemunculan pertama di Pasaran ACE naik enam sen kepada 74 sen.

Borneo Oil sebaliknya berkurangan setengah sen kepada tiga sen manakala Kanger International tidak berubah pada 7.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas susut 9.13 mata kepada 11,103.34, Indeks FBMT 100 merosot 9.60 mata kepada 10,806.17 dan FBM ACE naik 43.66 mata kepada 7,302.87.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 26.62 mata kepada 12,215.95 manakala FBM 70 menokok 45.64 mata kepada 14,564.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 77.68 mata kepada 14,794.24, Indeks Perladangan berkurangan 61.48 mata kepada 6,173.41 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.40 mata kepada 188.35.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.64 bilion saham bernilai RM2.50 bilion daripada 2.82 bilion saham bernilai RM2.78 bilion pada Isnin.

Jumlah waran meningkat kepada 356.07 juta unit bernilai RM36.39 juta berbanding 291.96 juta unit bernilai RM33.12 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya melonjak kepada 2.46 bilion saham bernilai RM901.88 juta daripada 170 juta saham bernilai RM623.13 juta pada Isnin.

Selain itu, produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 404.09 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (1.06 bilion), pembinaan (97.59 juta), teknologi (344.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.96 juta), hartanah (126.41 juta), perladangan (19.63 juta), REIT (2.78 juta), dana/tertutup (5,000), tenaga (254.70 juta), penjagaan kesihatan (178.71 juta), telekomunikasi dan media (38.62 juta), pengangkutan dan logistik (57.61 juta) serta utiliti (9.22 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X