Jumaat, 4 Jun 2021 | 11:38am
Gambar fail
Gambar fail

CIMB tawar moratorium, pengurangan ansuran peminjam terjejas

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB) menawarkan pilihan moratorium tiga bulan dan pengurangan ansuran bulanan 50 peratus selama enam bulan kepada peminjam yang terkesan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang bermula 1 Jun lalu.

CIMB berkata, program bantuan kewangan komprehensif yang disemak semula itu adalah sejajar dengan pengumuman kerajaan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) baru-baru ini.

Katanya, pelanggan yang layak memohon ialah mereka yang kehilangan pekerjaan, pelanggan B40 yang menerima Bantuan

Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), perusahaan mikro dengan pinjaman sehingga RM150,000 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

"Peminjam yang terkesan hanya perlu memilih opsyen yang dimahukan dan kelulusan secara automatik tertakluk kepada memenuhi kriteria yang diketengahkan.

"Di samping itu, setiap pelanggan yang mengalami pengurangan pendapatan juga dapat memperoleh manfaat pengurangan pembayaran ansuran bulanan, dan semua peminjam lain yang terjejas juga dapat menghubungi bank untuk pertimbangan menstruktur semula dan menjadualkan semula penyelesaian pembiayaan," katanya dalam satu kenyataan.

Program bantuan pembayaran balik terbaru itu bertujuan memberi bantuan berterusan kepada peminjam individu dan B40, perusahaan mikro dan peminjam lain yang terjejas serta memperluaskan bantuan untuk mengurangkan beban aliran tunai PKS yang tidak dapat beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata bantuan kewangan yang diperluaskan itu ditawarkan kepada pelanggan terjejas adalah untuk menolong mereka kekal berdaya tahan memandangkan jangka masa cabaran yang berpanjangan.

Beliau berkata, pihaknya telah memastikan proses yang mudah bagi pelanggan untuk memilih program bantuan pembayaran yang sesuai dengan situasi mereka.

"CIMB ingin meyakinkan pelanggan bahawa kami tetap komited untuk memberikan sokongan dalam tempoh yang mencabar ini," katanya.

CIMB juga menggesa setiap pelanggan yang terkesan oleh pandemik itu dengan cara apa pun untuk menghubungi bank.

Pelanggan yang terjejas dapat memilih program bantuan yang disukai dengan dokumentasi minimum yang diperlukan dengan jaminan status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan tidak akan terjejas.

Setakat akhir Mei, CIMB telah memproses sekitar 165,000 permohonan bantuan kewangan untuk peminjam individu dan perniagaan di Malaysia berjumlah lebih RM22 bilion, dengan kadar kelulusan hampir 100 peratus.

Bagi maklumat lebih lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Hubungan CIMB di talian +603-6204 7788 atau emel kepada covidcare@cimb.com.

PKS boleh menghubungi Pusat Panggilan Perniagaan CIMB di talian 1300- 888-828 (Tempatan) dan +603-2297 3000 (Luar Negara) dari Isnin hingga Jumaat dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan Sabtu dari 8 pagi hingga 5 petang (tidak termasuk cuti umum) atau lawati http://www.cimb.com.my/frap.

Pelanggan bukan PKS dan korporat juga boleh hubungi Pengurus Perhubungan CIMB mereka untuk membincangkan pilihan pembiayaan.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila lawati https://www.cimb.com.my/covid19support

Berita Harian X